RM288,000 duit pesara kerajaan lesap diperdaya Macau Scam - Berita Jenayah | mStar

RM288,000 duit pesara kerajaan lesap diperdaya Macau Scam

Diterbitkan: Selasa, 19 Jun 2018 2:35 PM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHRU: Seorang pesara kerajaan kerugian RM288,000 akibat ditipu sindiket Macau Scam selepas didakwa terlibat dalam kes dadah, penyeludupan, lari cukai serta pengubahan wang haram.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Abdul Wahib Musa berkata lelaki berumur 62 tahun itu kerugian sejumlah wang berkenaan apabila melakukan beberapa transaksi pembayaran ke empat akaun sindiket berkenaan kononnya sebagai bayaran wang jaminan waran tangkap dan yuran guaman.

"Menerusi laporan polis yang dibuat pada 12.30 tengah hari, Sabtu lepas (16 Jun), mangsa yang merupakan pesara Penolong Pegawai Perubatan di Pejabat Kesihatan negeri ini mendakwa dia menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai 'pegawai kastam' dari Alor Setar, Kedah, pada 17 Mei lepas.

"Lelaki itu menyatakan mangsa telah melakukan kesalahan menyeludup iPad dari Thailand dan pihaknya (Kastam Alor Star) telah mengeluarkan waran mahkamah kepada mangsa kerana tidak membayar cukai barang dan perkhidmatan (GST) berkaitan pembelian iPad tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Abdul Wahib berkata bermula dari situ, mangsa mendakwa dia kemudian dihubungi dua wanita dan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis berpangkat Sarjan serta Inspektor dari Alor Star, yang kononnya dapat membantu mangsa menyelesaikan masalah berkenaan.

Beliau berkata seorang daripada wanita terbabit mengarahkan mangsa memberikan maklumat berkaitan buku-buku bank mangsa dan memindahkan wang daripada semua akaun bank ke dalam hanya satu akaun bank mangsa yang mengandungi lebih RM200,000 wang pencen milik mangsa.

Menurut Abdul Wahib, wanita tersebut kemudian turut meminta mangsa membuat pembayaran keseluruhannya berjumlah RM54,000 di mana mangsa telah mendepositkan wang berkenaan dalam empat akaun bank berasingan antara 21 Mei dan 2 Jun lalu bagi tujuan jaminan waran tangkap dan bayaran yuran guaman tersebut.

Katanya, pada Sabtu lepas, mangsa pergi ke sebuah bank untuk menyemak akaunnya lalu mendapati baki di dalam akaun tersebut hanya tinggal belasan ringgit sahaja.

Mangsa  membuat laporan polis dan menyatakan bahawa dia mengalami kerugian kira-kira RM288,000.

"Polis kini sedang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu selain sedang mengesan suspek yang terlibat iaitu dua lelaki dan dua wanita yang memperkenalkan diri sebagai pegawai kastam serta anggota polis.

"Polis turut sedang mengesan empat pemilik akaun bank iaitu kesemuanya atas nama empat lelaki, di mana mangsa mendepositkan wang-wangnya ke dalam akaun tersebut seperti diarahkan wanita berkenaan," katanya.

Abdul Wahib turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan kejadian seumpama itu dan meminta mereka membuat semakan dengan polis atau bank bagi mengelak ditipu. - Bernama

Tags / Kata Kunci: Macau Scam
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan