Polis ada gambaran di mana Jamal - Berita Jenayah | mStar

Polis ada gambaran di mana Jamal

Diterbitkan: Khamis, 7 Jun 2018 11:50 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Tindakan undang-undang akan diteruskan ke atas Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunos walaupun belum tampil menyerah diri.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, setakat ini, pihaknya mempunyai gambaran mengenai lokasi Jamal yang telah menghilangkan diri sejak 25 Mei lalu.

"Gambaran di mana dia berada tu kita ada. Apa dia nak cakap biar dia cakap, tapi tindakan kita akan berterusan," katanya pada sidang media yang diadakan di Menara TM, Kuala Lumpur pada pagi Khamis.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai video rakaman oleh Jamal yang berlatarbelakangkan ladang kelapa sawit, mendakwa keselamatan dirinya terancam yang menyebabkan dia takut untuk menyerah diri kepada pihak polis.

Dalam perkembangan berkaitan, Fuzi memberitahu, beliau telah menulis kepada rakan sejawatnya di Indonesia untuk membantu menjejaki Jamal.

"Saya dah menulis kepada rakan sejawat saya di Indonesia dan dia pun sudah memberi maklum balas yang dia akan bantu dengan sebaik mungkin dalam masa terdekat ni.

"Ada kemunginan besar dia (Jamal) guna laluan tikus sebab untuk rekod yang kita semak dengan Jabatan Imigresen, tiada rekod dia keluar masuk," kata beliau.

Sebelum ini, media melaporkan pihak polis negara ini bekerjasama dengan Polis Indonesia bagi menjejaki Jamal yang dikatakan melarikan diri ke republik itu.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara ini telah dimaklumkan ke pihak berkuasa Indonesia agar membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyelesaikan perkara ini.

“Kalau boleh hari ini hendak tangkap beliau (Jamal), tapi soal proses dan prosedur itu mesti ada.

“Saya harap kerjasama dapat diberikan bagi memastikan nama yang disebutkan tadi dibawa ke muka pengadilan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, Isnin.

Tags / Kata Kunci: Jamal Yunos
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan