Dalang kes bunuh kejam di Johor ditahan - Berita Jenayah | mStar

Dalang kes bunuh kejam di Johor ditahan

Diterbitkan: Rabu, 30 Mei 2018 10:12 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lelaki yang dipercayai dalang kes pembunuhan kejam seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Johor Baharu, Disember lepas akhirnya ditangkap di Thailand pada Selasa.

Berita penangkapan tersebut disahkan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata polis sedang bekerjasama untuk membawa pulang lelaki itu ke Malaysia dalam masa terdekat.

"Kami akan bekerjasama dengan rakan sejawatan di Thailand dalam siasatan mereka," katanya kepada pemberita pada majlis buka puasa di Bukit Aman.

Pada 17 Disember lalu, seorang lelaki dikenali sebagai 'Ah Chiu', 44, ditikam dan digilis sebuah kereta BMW putih di stesen minyak Taman Pelangi.

Video rakaman insiden itu turut tular di media sosial.

Menurut laporan Bernama, suspek yang namanya dirahsiakan itu berusia dalam lingkungan 40 tahun dan mempunyai satu tatu besar di lengan kanan, ditangkap sekumpulan pegawai polis Thailand di wilayah Chaiyaphum, kira-kira 260 kilometer di timur laut Bangkok kira-kira 7 pagi Selasa.

"Lelaki itu merupakan suspek paling dikehendaki dalam kes pembunuhan (di sebuah stesen minyak di Johor Bahru). Dia dipercayai menjadi dalangnya," kata Penolong Pegawai Perhubungan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Thailand, Superitenden Ridzuan Abdul Aziz.

Penangkapan suspek oleh polis Thailand itu dibuat berikutan permohonan bantuan oleh rakan sejawatan mereka dari Malaysia beberapa bulan lepas sekali gus menamatkan operasi memburu secara besar-besaran oleh pihak berkuasa kedua-dua negara.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan