Sindiket seludup dadah RM71 juta di pasar raya tumpas - Berita Jenayah | mStar

Sindiket seludup dadah RM71 juta di pasar raya tumpas

Diterbitkan: Isnin, 28 Mei 2018 3:06 PM

Subromaniam (lima, kiri) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media mengenai rampasan dadah sebanyak 1,187 tan yang dianggarkan bernilai RM71 juta di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Kampung Jijan Tengah pada Isnin. - Bernama

(Ubah saiz teks)

NILAI: Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang dianggarkan bernilai lebih RM71 juta dan merampas 1.2 juta batang rokok putih yang belum lulus kastam di sebuah pasar raya di Seri Kembangan, Selangor, Selasa lepas.

Ketua pengarahnya Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata rampasan itu melibatkan dua jenis dadah iaitu methamphetamine seberat 1,187 kg berjumlah RM71 juta dan 750 gram heroin bernilai RM120,000.

"Dalam serbuan di sebuah pasar raya di Seri Kembangan, Selangor itu kita merampas sebuah kontena yang disyaki mengandungi dadah…hasil pemeriksaan terhadap kontena yang diikrarkan sebagai 'foodstuff' itu, kastam menjumpai 40 kotak berbalut guni putih disyaki dadah," katanya dalam sidang media di sini, pada Isnin.

Beliau berkata lima suspek ditahan iaitu tiga warga Myanmar manakala selebihnya  rakyat tempatan berumur lingkungan 22 hingga 48 tahun   dan hasil soal siasat telah membawa kepada penahanan seorang lagi suspek wanita tempatan berumur 31 tahun yang juga pengarah syarikat kedai runcit di Cheras, Selangor.

Siasatan awal mendapati dadah daripada Yangoon, Myanmar itu dibawa masuk ke dalam negara dipercayai untuk pasaran tempatan.

Subromaniam berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dengan rotan tidak kurang daripada 15 sebatan.

Dalam serbuan sama, pihaknya turut merampas 1.24 juta batang rokok putih, 1 tan tembakau, 1.5 tan tembakau kunyah, 1.3 tan ubat-ubatan pelbagai jenis yang disyaki belum lulus kastam yang dijumpai di dalam kontena itu.

"Nilai rampasan dianggarkan RM95,000 melibatkan duti dan cukai mencecah RM1 juta dan kesemua mereka direman 10 hari bermula Rabu lepas.

"Bagi rampasan tersebut kes disabitkan menerusi Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967 yang boleh dikenakan denda 10 kali ganda nilai barangan dan tidak lebih 20 kali ganda atau hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya. - Bernama

Tags / Kata Kunci: sindiket dadah
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan