Mayat budak mangsa perahu karam ditemui - Berita Jenayah | mStar

Mayat budak mangsa perahu karam ditemui

Diterbitkan: Sabtu, 26 Mei 2018 8:41 PM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

JULAU: Mayat kanak-kanak lelaki yang hilang bersama dua wanita dalam kejadian perahu panjang karam di Lubok Sepali Ulu Sungai Kanowit pada Khamis lepas ditemukan kira-kira 9 pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superitendan berkata, mayat Kevin Sama Anak Markus, 6 ditemui di kawasan Nanga Sepancur kira-kira satu jam perjalanan menggunakan perahu dari lokasi kejadian.

Katanya, mayat kanak-kanak itu telah dibawa ke Hospital Sarikei untuk bedah siasat.

Beliau berkata, usaha mengesan seorang lagi mangsa iaitu Ebiline Linty Anak Kaya berusia 23 tahun masih dilakukan.

Dalam kejadian yang dilaporkan berlaku kira-kira 5 petang Khamis lalu, empat sekeluarga dalam perjalanan dari jeti Entabai menuju ke rumah panjang mereka di Rumah Rayang Nanga Ensiring.

Seorang lelaki Markus Anak Kaya selamat dalam kejadian tersebut manakala ibunya Lenny Anak Ingang, 46 ditemukan mati terdampar di tebing sungai berdekatan Rumah Gani, Wong Bar pada 12.30 tengahari Jumaat. - Bernama

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan