Jamal ditahan polis di hospital - Berita Jenayah | mStar

Jamal ditahan polis di hospital

Diterbitkan: Selasa, 22 Mei 2018 5:19 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos, ditahan polis di sebuah hospital swasta dekat Ampang hari ini. 

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata Jamal ditahan kira-kira pukul 1.15 petang tadi.

"Tangkapan dilakukan bersabit satu kes yang disiasat dibawah Seksyen 34 Akta Senjata Api 1960 yang dilaporkan pada 12 Mei lalu," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Mazlan, Jamal masih ditahan di hospital tersebut kerana sedang menjalani rawatan.

"Terdapat beberapa lagi kes berkaitan suspek sedang disiasat selain dua waran tangkap yang akan disempurnakan setelah suspek selesai menjalani rawatan," katanya.

Difahamkan Jamal ditahan bagi membantu siasatan berhubung penularan gambarnya mempamerkan senjata api di media sosial.

Tangkapan itu dibuat susulan satu laporan polis yang diterima pada 12 Mei lalu oleh ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kuala Langat.

Pengadu mendakwa melihat beberapa keping gambar menunjukkan Jamal menyelitkan senjata api di pinggangnya di khalayak ramai yang dipercayai bertujuan menakut-nakutkan orang awam.

Dalam laporannya, pengadu meminta polis menyiasat perbuatan Jamal itu dan menarik lesen senjata apinya sebelum kejadian yang tidak diingini berlaku.

Tags / Kata Kunci: Jamal Yunos , senjata api , hospital
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan