PDRM minta butiran lanjut mengenai dakwaan Najib isu coklat - Berita Jenayah | mStar

PDRM minta butiran lanjut mengenai dakwaan Najib isu coklat

Diterbitkan: Ahad, 20 Mei 2018 7:47 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis meminta butiran lanjut mengenai  dakwaan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melalui peguamnya pada Sabtu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah  Komersil Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata penggeledahan serentak di enam premis dilakukan oleh polis secara  adil dan profesional.

“Saya meminta butiran lebih lanjut mengenai kejadian yang dikatakan berlaku dan juga mengenal pasti anggota polis yang terlibat.  

“Saya tidak akan bertolak ansur dengan tingkah laku tidak profesional dan tindakan tegas akan diambil terhadap anggota yang terlibat kerana melanggar prosedur operasi standard polis, jika dakwaan itu benar,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Sabtu. 

Amar Singh mengulas dakwaan bahawa “coklat dan makanan” dikatakan diminta oleh anggota polis seperti didakwa oleh portal berita dalam talian pada Sabtu.

Beliau juga menggesa pihak-pihak berkaitan memberi butir-butir mengenai gambar yang bocor, jika ada untuk membolehkan mereka menjalankan siasatan bagi mengesahkan sama ada gambar yang tular itu adalah dari pihak polis atau sebaliknya kerana terdapat ahli keluarga dan kawan-kawan yang hadir semasa penggeledahan itu.

Beliau berkata anggota polis di tempat kejadian dilarang sama  sekali daripada membawa telefon bimbit semasa menjalankan penggeledahan.

“Gambar dan rakaman video di tempat kejadian hanya akan diambil oleh jurugambar rasmi kami,” kata beliau.

Terdahulu pada awal Sabtu, peguam Najib Datuk Harpal Singh Grewal, dalam kenyataannya, mendakwa bahawa anggota polis yang bertugas bertindak secara sambil lewa dan tidak bertanggungjawab.

Beliau mendakwa bahawa anggota-anggota polis makan  coklat dan makanan dalam peti sejuk dan juga meminta supaya makanan disediakan untuk mereka. - Bernama

Tags / Kata Kunci: Najib Razak
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan