Seorang lagi suspek samun ditembak mati - Berita Jenayah | mStar

Seorang lagi suspek samun ditembak mati

Diterbitkan: Sabtu, 19 Mei 2018 10:01 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang lagi suspek kejadian samun di sebuah kedai emas di pusat membeli-belah di Damansara Jaya, dekat sini semalam, ditembak mati.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata suspek lelaki berumur 22 tahun itu maut dalam kejadian berbalas tembakan di kawasan Bukit Beruntung pukul 1 pagi tadi.

Fadzil berkata anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor mengejar kereta Honda Civic yang dipandu suspek sebelum kenderaan itu terbabas akibat terlanggar pokok.

"Suspek keluar dari kenderaan tersebut dan terus melepaskan beberapa das tembakan ke arah anggota.

“Pasukan polis telah membalas beberapa das tembakan ke arah suspek dan suspek berjaya ditumpaskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan membawa kepada penemuan sepucuk pistol revolver berisi tiga butir peluru serta dua kelonsong dan beberapa bentuk barang kemas dari kedai emas yang dirompak.

“Suspek mempunyai dua rekod jenayah dan siasatan masih diteruskan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam, enam suspek yang memakai topi keledar bervisor hitam telah menyerbu masuk kedai emas di pusat membeli-belah di Damansara Jaya, dengan bersenjatakan tiga pucuk pistol untuk menyamun.

Polis menembak mati dua suspek ketika cuba melarikan diri manakala empat suspek berjaya ditahan.

Polis percaya lebih daripada lapan suspek terlibat dalam kejadian itu. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: samun , kedai emas
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan