Polis rampas dadah RM5.6 juta, duit RM2.77 juta - Berita Jenayah | mStar

Polis rampas dadah RM5.6 juta, duit RM2.77 juta

Diterbitkan: Jumaat, 4 Mei 2018 2:00 PM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Sejumlah 92.6 kilogram syabu bernilai RM5.6 juta serta wang tunai RM2.77 juta dirampas dalam empat serbuan polis di Pulau Pinang dan Kedah pada Rabu lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata dalam kesemua serbuan itu, polis menahan empat warga tempatan berumur 25 hingga 51 tahun termasuk seorang wanita serta dua rakyat asing berusia antara 25 dan 35 tahun, yang disyaki sebahagian daripada anggota sindiket dadah.

"Dadah itu dirampas dari sebuah bot di Teluk Bahang dan polis menahan seorang lelaki. Penahanan      itu kemudiannya membawa polis ke lokasi seterusnya di sebuah rumah masing-masing di Teluk Bahang, Langkawi dan Bayan Lepas serta menahan suspek lain," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Operasi yang bermula pada 3.15 petang dengan bantuan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (Sting), pasukan udara dan marin polis serta Jabatan Siasatan Jenayah negeri juga merampas akaun bank bernilai RM1.28 juta, lapan kenderaan bernilai RM618,500, barang kemas bernilai RM28,000 dan jam tangan bernilai RM4,000 selain wang tunai tersebut dalam kesemua serbuan.

Mohamad  berkata polis masih mengesan anggota sindiket lain yang terlibat dan mengesyaki mereka telah beroperasi dalam tempoh yang agak lama.

“Dadah itu dirampas sebelum dihantar ke Sumatera melalui Selat Melaka dan disyaki dibawa masuk dari negara jiran melalui jalan darat," katanya.

Kesemua  suspek direman sehingga 9 Mei mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.-- Bernama 

Tags / Kata Kunci: Bukit Aman , syabu , Sting
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan