Polis cekup pedofilia sasar budak sekolah rendah - Berita Jenayah | mStar

Polis cekup pedofilia sasar budak sekolah rendah

Diterbitkan: Rabu, 18 April 2018 2:32 PM

Fazlisyam menunjukkan telefon bimbit yang digunakan suspek untuk merakam perbuatannya mencabul kehormatan mangsa.

(Ubah saiz teks)

MARANG: Tangisan kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun membawa kepada penahanan seorang pedofilia hanya beberapa jam selepas polis menerima laporan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, polis menahan juruteknik berusia 20 tahun di kediaman lelaki itu pada 27 Mac lalu.

Sepasukan polis juga merampas dua telefon bimbit, termasuk satu yang mengandungi 15 rakaman video suspek mencabul kehormatan mangsa.

"Suspek akan mensasarkan pelajar yang sedang menunggu ibu bapa mereka untuk pulang dari sekolah, dia akan mendekati mangsa dan berpura-pura bertanya di mana tandas," kata Fazlisyam.

Selepas masuk ke tandas sekolah, suspek akan mencabul pelajar sekolah dan merakam insiden itu menggunakan telefon bimbitnya.

Suspek kemudiannya akan mengugut mangsa supaya diam dan pelajar yang ketakutan terpaksa menurut kehendaknya.

Dipercayai suspek mula melakukan perbuatan tidak bermoralnya itu sejak tahun lalu.

Suspek berjaya melepaskan diri sehingga akhir Mac lalu, apabila mangsanya yang terlalu menangis ketakutan  telah mendapatkan bantuan gurunya.

Suspek yang dipercayai graduan sebuah kolej akan mensasarkan murid sekolah rendah berusia antara lapan hingga 12 tahun di Marang dan berdekatan Kuala Terengganu.

Setakat ini, polis telah mengenal pasti kira-kira 13 mangsa dan majoritinya dari Marang.

"Kes ini telah mendapat perhatian Bukit Aman kerana bilangan mangsa melibatkan hanya seorang suspek," katanya.

Beliau juga menasihatkan ibu bapa supaya berhati-hati dan sentiasa mendengar masalah yang dihadapi anak-anak.

Siasatan kes berkenaan menjurus kepada penghasilan rakaman pornografi kanak-kanak dan serangan seksual terhadap kanak-kanak mengikut Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017.

Tags / Kata Kunci: Fazlisyam , Marang , pedofilia
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan