Polis Siasat Berita Palsu TMJ 'Belanja' Pengunjung Pasar Raya - Berita Jenayah | mStar

Polis Siasat Berita Palsu TMJ 'Belanja' Pengunjung Pasar Raya

Diterbitkan: Jumaat, 13 April 2018 2:21 PM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHRU: Polis akan menyiasat penyebaran berita palsu yang tular pada Khamis berkaitan Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang akan membiaya kos pembelian pengunjung ke Econsave Pontian.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, pihaknya akan menyiasat insiden berkenaan yang menimbulkan kekecohan susulan mesej menyatakan setiap pengunjung akan menerima RM200 daripada Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk dibelanjakan di pasar raya itu.

“Hasil siasatan mendapati mesej tersebut adalah palsu. Penyebaran mesej seumpama itu juga dikesan menerusi media sosial di beberapa lokasi lain di sekitar Johor,” katanya menerusi kenyataan di sini, Jumaat.

Khalil berkata, penyebaran berita-berita, mesej-mesej atau maklumat palsu boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Siasatan juga boleh dijalankan di bawah Seksyen 4 Akta Antiberita Tidak Benar 2019 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya, dan dalam satu hal suatu kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi RM3,000 bagi tiap-tiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas pensabitan.

Khalil berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu, pengendali media sosial atau portal berita yang menulis dan mengeluarkan sebarang artikel atau kenyataan yang palsu, menyakitkan hati, menjelikkan atau menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya menyemak kesahihan berita yang diterima serta tidak mudah percaya dengan apa-apa berita di media sosial tanpa merujuk kesahihan berita tersebut.

Pada Khamis, Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian menerima makluman berkenaan kehadiran orang ramai dalam jumlah yang banyak di pasaraya Econsave Pontian susulan tersebarnya mesej yang mendakwa Tunku Mahkota Johor akan hadir memberi bantuan RM200 bagi membeli barang keperluan harian di situ.





Tags / Kata Kunci: Econsave , Pontian , TMJ
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan