Polis Minta Pengguna Facebook Tampil Selepas Kongsi Video Wanita Dipenggal - Berita Jenayah | mStar

Polis Minta Pengguna Facebook Tampil Selepas Kongsi Video Wanita Dipenggal

Diterbitkan: Jumaat, 16 Mac 2018 2:54 PM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Pihak polis sudah memulakan siasatan terhadap laporan berkaitan video yang dimuat naik di Facebook menunjukkan seorang wanita ditikam dan kepalanya dipenggal oleh seorang lelaki bertopeng.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Datuk Dev Kumar berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Beliau menasihatkan pengguna Facebook bernama Kenedy Morie untuk tampil bagi membantu siasatan.

Kata Dev, beberapa pengguna Facebook mengaitkan video tersebut dengan kes pembunuhan di Sri Aman yang mana kepala seorang wanita ditemukan di tebing sungai di Skait, Sri Aman.

"Bagaimanapun, semakan polis mendapati video yang berasal dari sebuah negara di Amerika Selatan itu langsung tidak terlibat dengan kes di Sri Aman," katanya melalui kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Dev memberi amaran kepada pengguna laman sosial untuk menghentikan penyebaran berita palsu yang boleh mengganggu siasatan pembunuhan di Sri Aman dan pendakwaan berikutnya. - Bernama

Tags / Kata Kunci: penggal , kes bunuh
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan