Padah Cuba Rasuah Polis, Tiga Ahli Perniagaan Ditahan - Berita Jenayah | mStar

Padah Cuba Rasuah Polis, Tiga Ahli Perniagaan Ditahan

Diterbitkan: Khamis, 15 Mac 2018 12:13 PM

(Ubah saiz teks)

MIRI:Tiga ahli perniagaan ditahan kerana menawarkan wang suapan antara RM1,000 hingga RM1,500 kepada polis dalam serbuan di tiga lokasi berbeza di sini, Rabu.

Pegawai Pemerintah Batalion 12 Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri Supritendan Tan Hiap Seng berkata, ketiga-tiga suspek lelaki tempatan masing-masing berumur 30, 46 dan 43 tahun ditahan di tiga kedai runcit iaitu di Desa Indah, Jalan Maigold Senadin dan Quadruplex Permyjaya.

“Pelbagai jenama rokok dan minuman keras dengan nilai keseluruhan RM421,150 dipercayai tidak dibayar cukai dirampas dari tiga lokasi berbeza itu,” katanya dalam  kenyataan di sini, Khamis.

Beliau berkata semasa pemeriksaan dibuat, ketiga-tiga pemilik premis perniagaan  gagal menunjukkan bukti pembayaran cukai kepada Jabatan Kastam terhadap kotak rokok serta minuman keras yang telah diperiksa.

Dalam serbuan pertama di Desa Indah, pada 10.55 pagi semalam, polis telah merampas 650 karton rokok dan 24 tin minuman keras pelbagai jenama bernilai RM138,180.

Hiap Seng berkata, dalam serbuan itu, seorang suspek telah menawarkan wang suapan RM1,500 kepada polis bertugas.

“Serbuan kedua pula dilakukan di Jalan Maigold Senadin pada 11.10 pagi semalam, menyaksikan 1,000 karton rokok pelbagai jenama dirampas bernilai RM97,000 dan suspek yang berada di premis tersebut turut menawarkan wang suapan RM1,000,” katanya.

Beliau berkata, manakala bagi serbuan ketiga di Quadruplex Permyjaya pada 12.45 tengah hari, suspek ketiga pula menawarkan wang suapan RM1,000 setelah 168 tin minuman keras dan 18 kotak mengandungi  botol minuman keras bernilai RM185,970 ditemukan.

Pihaknya telah memberi beberapa amaran keras kepada ketiga-tiga suspek supaya jangan memberi wang suapan, namun tidak diendahkan.

Beliau berkata kesemua tiga suspek diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan  Rasuah Malaysia (SPRM) Miri yang turut bersama dalam operasi, manakala barangan dirampas telah diserah kepada Jabatan Kastam untuk tindakan lanjut.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: SPRM , Miri
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan