Mayat Dua Remaja Lemas Di Air Terjun Berkelah Ditemui - Berita Jenayah | mStar

Mayat Dua Remaja Lemas Di Air Terjun Berkelah Ditemui

Diterbitkan: Selasa, 20 Februari 2018 9:57 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Mayat dua remaja yang dikhuatiri lemas semasa berkelah di Air Terjun Berkelah di sini semalam, ditemukan pada 8 pagi Selasa di dasar air terjun berkenaan.

Pegawai Kanan Pasukan Selam Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, Alif Hafizul Mohammad berkata, mayat Muhammad Shahfaris Shahri dan Azfan Muhammad, kedua-duanya berusia 22 tahun ditemukan dalam jarak antara empat meter antara satu sama lain.

"Kedua-dua mangsa ditemui kira-kira 10 meter dari tebing air terjun itu kira-kira 10 minit selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pada 7.55 pagi tadi.  

"Kedua-dua mereka dikenal pasti oleh rakan dan anggota keluarga yang menunggu di kawasan operasi dijalankan," katanya semasa dihubungi di sini, Selasa.  

Alif Hafizul menambah kedua-dua mayat itu ditemukan di tingkat tujuh air terjun berkenaan, yang merupakan tingkat paling atas, air terjun tersebut.

Katanya, operasi membawa mayat turun masih dilaksanakan dan mayat akan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk bedah siasat.

Muhammad Shahfaris dan Azfan kedua-duanya berasal dari Klang, Selangor datang ke air terjun itu untuk berkelah bersama-sama 10 rakan pada petang Isnin, dan difahamkan ia merupakan kunjungan kali pertama mereka ke situ.

Mereka dipercayai lemas kira-kira 3.10 petang.

Operasi SAR yang dimulakan petang semalam terpaksa dihentikan pada 8 malam ekoran keadaan persekitaran yang gelap. - Bernama

Tags / Kata Kunci: Air Terjun Berkelah
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan