Polis Cari Penunggang Motosikal Tendang Warga Emas - Berita Jenayah | mStar

Polis Cari Penunggang Motosikal Tendang Warga Emas

Diterbitkan: Isnin, 19 Februari 2018 11:31 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGETOWN: Polis sedang mengenal pasti identiti seorang penunggang motosikal yang menendang warga emas ketika sedang menunggang motosikal di Persiaran Gurney, di sini.

Dalam kejadian pada pukul 3 petang Ahad, video berdurasi 1 minit 22 saat itu menunjukkan seorang lelaki yang menunggang motosikal menghimpit warga emas berusia 60 tahun tersebut sebelum menendangnya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, mangsa difahamkan baru pulang dari masjid dan ketika tiba di Persiaran Gurney, dia ditendang oleh suspek.

Akibat kejadian itu, mangsa yang terjatuh dari motosikalnya dimasukkan ke wad kerana cedera dan sakit di bahagian dada.

"Mangsa dilaporkan stabil. Anaknya telah membuat laporan polis pada jam 5 petang tadi berhubung kejadian yang menimpa bapanya. Menurut anak mangsa, bapanya tidak mempunyai masalah atau berselisih faham dengan mana-mana pihak sebelum kejadian.

"Motif sebenar masih disiasat dan malam ini, kita akan ambil keterangan daripada seorang saksi serta mendapatkan rakaman video asal yang dirakam daripada kamera kereta saksi. Dari situ, kita akan dapatkan nombor kenderaan suspek," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

 
Tags / Kata Kunci: Anuar Omar , Persiaran Gurney
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan