Tiada Unsur Jenayah Siasatan Awal Kes Adik Nur Afini - Berita Jenayah | mStar

Tiada Unsur Jenayah Siasatan Awal Kes Adik Nur Afini

Diterbitkan: Rabu, 14 Februari 2018 1:29 PM

Roslan Samat ditenangkan oleh saudaranya ketika jenazah anaknya dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar.

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Siasatan awal berhubung kes seorang pelajar maut akibat terkena bilah pisau traktor mesin rumput di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Abdul Rahman , Gemas pada Selasa, mendapati tidak terdapat unsur-unsur jenayah, kata Ketua Polis Daerah Tampin, Supritendan Hamazah Ab Razak.

Beliau berkata walaubagaimanapun, siasatan lanjut akan diteruskan dari segala aspek.

Hamazah.

"Kami akan bekerjasama dengan agensi yang mempunyai kepakaran seperti Jabatan Kerja Raya dan Unit Forensik, untuk mengenal pasti bagaimana kejadian ini boleh berlaku.

"Seperti bagaimana bilah pisau traktor mesin rumput itu boleh patah, dan bagaimana bilah itu boleh melantun sejauh 30 meter dan mengenai pelajar-pelajar di situ," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Beliau berkata pemandu traktor berusia 26 tahun, yang berasal dari Tanjung Keling, Melaka, itu telah diambil kenyataan berhubung insiden berkenaan dan akan dibebaskan dengan jaminan polis pada Rabu.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana kematian disebabkan kecuaian," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi semalam, pelajar sekolah itu  Nur Afini Roslan, 14, maut selepas bilah mesin potong rumput terpelanting mengenai kepalanya.

Dua lagi pelajar, Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13, cedera di bahagian belakang kepala dan Abdullah Hazlan, 14, cedera pada bahagian telinga kanan. - Bernama


Tags / Kata Kunci: Nur Afini
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan