'Mayat Kekasih Saya Dalam Kereta' - Berita Jenayah | mStar

'Mayat Kekasih Saya Dalam Kereta'

Diterbitkan: Selasa, 6 Februari 2018 7:51 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Seorang lelaki membunuh kekasihnya sebelum membawa mayat tersebut ke balai polis.

Lelaki itu menyerah diri di Balai Polis Damansara dan mengaku telah membunuh.

Mangsa kemudian dikenal pasti sebagai D.Tharsini berusia 37 tahun.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, lelaki berusia 37 tahun itu datang ke balai polis bersama mayat teman wanitanya di dalam kereta jenis Honda City yang dipandu suspek.

“Dia telah masuk ke ruang pejabat kaunter aduan kita dan memaklumkan dia telah membunuh teman wanitanya.

“Jadi anggota polis bertugas telah buat pemeriksaan dan memang ada mayat seorang wanita dalam kereta tersebut dan lelaki tersebut serta merta ditahan,” katanya.

Mayat mangsa masih lengkap berpakaian berada di tempat duduk penumpang bahagian hadapan dengan kesan tikaman pada leher dan dipercayai meninggal dunia pada pukul 1.30 petang Isnin.

Siasatan awal mendapati mangsa berusia 35 tahun yang juga merupakan rakan sekerja suspek dibunuh menggunakan sejenis senjata tajam yang ditemui dalam kereta tersebut.

Motif kejadian masih disiasat, namun dipercayai ada kaitan dengan hubungan cinta antara mereka berdua.

Mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tambah salah seorang keluarga mangsa, Tharsini tidak mempunyai teman lelaki.

"Setakat yang kami tahu, dia tidak rapat dengan sesiapa," jelas sepupu mangsa yang dikenali Malar.

Tags / Kata Kunci: bunuh kekasih , serah diri
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan