Bayi Enam Bulan Meninggal Dunia Dipercayai Didera - Berita Jenayah | mStar

Bayi Enam Bulan Meninggal Dunia Dipercayai Didera

Diterbitkan: Selasa, 6 Februari 2018 7:00 PM

(Ubah saiz teks)

TAIPING: Seorang bayi perempuan berusia enam bulan meninggal dunia di Hospital Taiping di sini pagi Isnin, disyaki  akibat didera.

Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata susulan itu, pihaknya  menahan seorang lelaki berusia 21 tahun bagi membantu siasatan ketika dia hadir di sebuah balai polis, di sini, Selasa.

Bercakap pada sidang media di sini, beliau berkata pihaknya menerima laporan daripada Hospital Taiping berhubung kejadian pada 10.25 pagi semalam selepas bayi itu, Nur Khayra Mohamad Amirul Asnil  yang dirawat sejak 2 Februari lalu meninggal dunia pada 7.30 pagi.

"Difahamkan, doktor yang merawat mangsa telah bertanya kepada kedua-dua ibu bapa mangsa yang memberitahu  anak mereka jatuh dari buaian dan dibawa ke hospital pada 6.30 petang hari berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Pemeriksaan dijalankan dan hasil laporan imbas CT menunjukkan bayi tersebut mengalami pendarahan di bahagian otak serta di bahagian mata," katanya.

Beliau berkata pemeriksaan fizikal terhadap tubuh bayi itu bagaimanapun tidak menemukan sebarang kesan lebam semasa dimasukkan ke wad dan pengadu mengesyaki ada unsur-unsur penderaan secara niat ataupun tidak.

Mohamad berkata hasil bedah siasat terhadap mayat bayi itu yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan kecederaan di kepala akibat trauma tumpul.

Beliau berkata polis juga telah mengambil keterangan ibu bapa bayi tersebut yang masing-masing berusia 19 dan 21 tahun.  Kes disiasat menurut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Mengenai suspek yang ditahan, Mohamad berkata lelaki yang bekerja sebagai pengusaha kantin itu mempunyai satu rekod lampau mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki kenderaan curi.

Tags / Kata Kunci: Hospital Taiping , Nur Khayra
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan