Itu Kereta Filem, Bukan Kereta Polis China - Berita Jenayah | mStar

Itu Kereta Filem, Bukan Kereta Polis China

Diterbitkan: Khamis, 1 Februari 2018 4:02 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pihak polis menangkis dakwaan dibuat menerusi laman sosial yang mengatakan bahawa terdapat kereta polis China dikesan berada di Malaysia, sebaliknya menjelaskan kereta terbabit adalah untuk pembikinan sebuah filem.

Ketua Komunikasi Korporat Buki Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Asmawati Ahmad berkata, pihak polis telah mengenal pasti posting yang dimuat naik menerusi Facebook.

"Pengguna terbabit menggunakan gambar profil dan nama seorang bekas pemimpin di Malaysia," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

Posting tersebut dimuat naik bersama sekeping gambar kereta polis buatan Malaysia yang tertera tulisan Cina.

Posting tersebut mendakwa terdapat negara lain yang membuat pelaburan di negara ini, tetapi kereta polis negara terbabit tidak kelihatan di Malaysia.

Posting itu turut bertanya tentang kelebihan yang diberikan kepada China dan agenda Kementerian Dalam Negeri.

Asmawati berkata, kereta tersebut digunakan oleh syarikat hiburan untuk menjalankan penggambaran bertajuk The Original Sin di Putrajaya.

Katanya, filem itu adalah tentang kehidupan seorang polis di sebuah bandar rekaan yang dikenali sebagai Bandar Han.

"Kami mengambil serius dakwaan yang dibuat di laman sosial kerana ia berniat untuk menggambarkan persepsi negatif terhadap agensi kerajaan," kata beliau.

Tags / Kata Kunci: kereta polis
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan