Geng Kasanova Kaut Untung Perdaya Wanita - Berita Jenayah | mStar

Geng Kasanova Kaut Untung Perdaya Wanita

Diterbitkan: Khamis, 25 Januari 2018 12:10 PM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHRU: Sekumpulan kasanova dikesan memperdaya wanita menerusi kegiatan gores dan menang di beberapa pusat membeli belah di negeri ini.

Beberapa laporan polis telah dibuat melibatkan kerugian mencecah ribuan ringgit di Kulaijaya, Johor Bharu Selatan, Kluang dan Iskandar Puteri.

Dalam semua kes, mangsa yang berusia sekitar 20an telah ditipu sekumpulan empat lelaki dan seorang wanita yang juga dalam lingkungan usia sama.

Semua kerugian yang dicatatkan berjumlah antara beberapa ribu hingga kira-kira RM45,000 setiap seorang mangsa.

Sumber berkata, ahli kumpulan itu mempunyai peranan masing-masing untuk mengesan mangsa, memperdaya mereka supaya menyerahkan wang simpanan.

Difahamkan, salah satu kes melibatkan mangsa yang sedang membeli belah di Kulai didatangi dua lelaki kacak yang memaklumkan wanita berkenaan telah memenangi cabutan bertuah dengan hadiah wang tunai.

"Ketika ini, seorang lagi lelaki kacak menyertai mereka dan memberitahu wanita berkenaan supaya melabur sejumlah wangnya untuk jumlah hadiah wang tunai yang dimenangi lebih besar," kata sumber itu sambil menambah wanita yang terpedaya itu telah mengeluarkan sebanyak RM45,000 daripada akaun simpanannya.

Ketiga-tiga lelaki berkenaan kemudiannya telah melarikan diri sebaik menerima wang berkenaan ketika mangsa ke tandas.

Mangsa kemudiannya telah membuat laporan polis.

Menerusi satu lagi kes, wanita yang dikenali sebagai May didatangi seorang lelaki juga digambarkan sebagai kacak dan seorang wanita yang mendakwa mahu menjalankan kaji selidik mengenai  pusat membeli belah di Johor.

"Saya ingat mereka hanya mahu bersembang sementara menunggu rakan yang lain, tetapi sebaliknya mereka memberitahu saya boleh memenangi hadiah mewah menerusi cabutan bertuah.

"Pada mulanya saya tidak berminat, tetapi mereka memujuk supaya saya turut serta dan akhirnya saya kerugian lebih RM10,000," katanya.

Walaupun malu kejadian itu menimpa dirinya, dia tetap melaporkannya kepada polis untuk memastikan tiada lagi yang menjadi mangsa kumpulan itu.








Tags / Kata Kunci: kasanova , Kulai
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan