Tinjau, Rakam Lokasi Sasaran Keganasan Sebelum Dicekup - Berita Jenayah | mStar

Tinjau, Rakam Lokasi Sasaran Keganasan Sebelum Dicekup

Diterbitkan: Selasa, 23 Januari 2018 8:39 AM

Unit Anti Keganasan menahan suspek pengganas Daesh di Jalan Klang Lama.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Anggota militan sudah beberapa minggu meninjau beberapa lokasi yang berpotensi untuk melakukan serangan keganasan dan turut mengambil beberapa rakaman video lokasi terbabit.

Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, balai polis Jalan Travers, pusat hiburan dan beberapa lokasi strategik lain adalah antara sasaran anggota militan tersebut.

Tujuan mereka adalah untuk mewujudkan kekacauan dan mencuri senjata.

Bagaimanapun, rancangan mereka berjaya dipatahkan apabila dua suspek ditahan oleh Unit Anti Keganasan di Cawangan Khas Bukit Aman baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, anggota militan pertama merupakan guru berusia 25 tahun yang ditahan di Petaling Jaya pada 23 Disember.

Suspek bekerja di sebuah sekolah agama swasta di Subang Jaya.

Fuzi berkata, lelaki itu ditangkap di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) pada 9 November 2015 dan dihukum penjara selama 18 bulan.

Dia dibebaskan pada 9 Nov tahun berikutnya, tetapi bergiat aktif sekali lagi dalam kegiatan kegananasan Daesh.

Kata Mohamad Fuzi, suspek tersebut juga merancang untuk membunuh orang bukan Islam kerana bersandarkan kepada kepercayaan palsu yang menuntut agar pembunuhan seperti itu dibenarkan dan dia juga percaya bahawa aset mereka boleh dirampas.

Sumber berkata, guru itu adalah anggota pengganas Daesh sejak awal tahun 2015 dan juga secara aktif mempromosikan ideologi keganasan di Facebook dengan tujuan untuk merekrut militan baharu.

Tags / Kata Kunci: Daesh
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan