Ejek Senior Punca Pelajar Tingkatan Dua Dibelasah - Berita Jenayah | mStar

Ejek Senior Punca Pelajar Tingkatan Dua Dibelasah

Diterbitkan: Selasa, 23 Januari 2018 8:17 AM

Pergaduhan berpunca daripada salah faham sehingga mendatangkan rasa tidak puas hati seorang pelajar tingkatan empat kerana diejek dan ditertawakan. - Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Seorang pelajar lelaki tingkatan dua sebuah sekolah berasrama penuh di Kepala Batas dekat sini cedera selepas dilapor dipukul lebih 15 pelajar tingkatan empat sekolah itu awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata pelajar berusia 14 tahun itu membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada pukul 8.50 malam Isnin selepas mendapatkan rawatan di sebuah klinik di Kepala Batas.

"Menurut pelajar itu, kejadian berlaku kira-kira pukul 3 pagi di tingkat tiga koridor asrama lelaki sekolah berkenaan dan ia dipercayai berpunca daripada salah faham sehingga mendatangkan rasa tidak puas hati seorang pelajar tingkatan empat kerana diejek dan ditertawakan," katanya di sini pada Isnin.

Beliau berkata pelajar tingkatan empat itu bertindak memanggil kira-kira 30 rakannya dan 15 daripada mereka telah memukul, menampar dan menendang mangsa serta tiga lagi rakannya juga pelajar tingkatan dua menyebabkan lebam dan luka calar di kaki serta badan.

Namun hanya seorang pelajar yang tampil membuat laporan polis, katanya.

"Polis telah memanggil beberapa pelajar yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu hari ini untuk direkodkan keterangan dan mereka dibebaskan dengan jaminan polis. Siasatan lanjut kes itu dijalankan," katanya. - Bernama

Tags / Kata Kunci: buli
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan