Dipukul Tidak Bertudung, Wanita Indonesia Buat Laporan Polis - Berita Jenayah | mStar

Dipukul Tidak Bertudung, Wanita Indonesia Buat Laporan Polis

Diterbitkan: Ahad, 21 Januari 2018 9:17 PM

(Ubah saiz teks)

BUKIT MERTAJAM: Seorang wanita warga Indonesia membuat laporan polis berhubung kejadian seorang lelaki dipercayai kurang siuman bertindak menolak kepalanya kerana tidak memakai tudung semasa menunggu bas di perhentian bas Taman Perwira.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata dalam kejadian yang dipercayai berlaku pada 6 Jan lepas itu, mangsa berusia 24 tahun yang bekerja di sebuah kilang di Perai sedang menunggu bas bersama kakaknya.

"Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, mangsa menunggu bas  ke Bukit Mertajam untuk berjumpa  rakannya sebelum tiba-tiba seorang lelaki dipercayai kurang siuman menghampirinya.

"Lelaki yang dalam keadaan tiada terurus itu bertanyakan kepada mangsa mahu ke mana dan wanita berkenaan memberitahu dia mahu berjumpa kawan serta berjalan-jalan di bandar," katanya pada Ahad.

Katanya lelaki itu tiba-tiba marah kepada mangsa kerana tidak memakai tudung dan berkata dia pantang serta tidak suka melihat wanita tidak bertudung atau menutup aurat.

Nik Ros Azhan berkata mangsa mendiamkan diri namun lelaki itu bertindak menolak kepala wanita berkenaan dengan menggunakan tangannya sebelum kakak mangsa menghalang suspek daripada terus memukul adiknya.

Katanya lelaki itu kemudiannya meninggalkan mereka manakala mangsa yang tidak mengalami kecederaan terus pulang ke rumahnya serta tidak mendapatkan rawatan di mana-mana klinik.

"Mangsa hari ini tampil membuat laporan polis kerana bimbang kejadian sama berulang pada masa hadapan dan insiden tersebut turut menjadi tular di media sosial sejak minggu lepas selepas rakaman video berhubung kejadian itu dikongsikan oleh seorang pengguna facebook," katanya.

Beliau berkata polis telah mengenal pasti lelaki berusia 30 tahun yang terlibat dalam kejadian itu dan pihaknya juga  pergi ke rumah didiami suspek namun dia tiada di rumah kerana  keluar merayau.

"Menurut bapa saudara lelaki itu, suspek kurang siuman sejak 15 tahun lepas akibat kemalangan jalan raya dan kami akan terus mengesannya serta menghantar ke hospital bagi pemeriksaan kesihatan," katanya.-Bernama

Tags / Kata Kunci: Pukul , Tidak Bertudung

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan