Culik, Curi Organ Budak Di Johor Berita Palsu - Polis - Berita Jenayah | mStar

Culik, Curi Organ Budak Di Johor Berita Palsu - Polis

Diterbitkan: Selasa, 9 Januari 2018 7:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHRU: Polis Johor menafikan kejadian dan pembunuhan kejam seorang kanak-kanak didakwa berlaku di negeri itu seperti ditularkan di laman sosial.

“Polis Johor menafikan insiden penculikan dan pembunuhan ini ada berlaku di Johor.

"Penyebaran itu dilihat sebagai satu percubaan untuk menimbulkan ketakutan dan kebimbangan orang ramai,” kata Ketua Polis Johor Mohd Khalil Kader Mohd berkata dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau mengulas mengenai penularan gambar  seorang kanak-kanak yang dipercayai telah meninggal dunia dengan kesan kelar di leher dan jahitan di bahagian atas badannya.

Organ kanak-kanak tersebut juga telah didapati tiada.

“Turut ditularkan ialah gambar dua individu yang masih dikehendaki oleh Polis Johor (untuk kes berlainan) yang pernah disiarkan kepada media," katanya.

Menurutnya, perbuatan menyebarkan dan membuat spekulasi palsu menyalahi undang-undang dan boleh diambil tindakan dibawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kes ini boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

“Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai tidak mudah mempercayai dakwaan yang diperoleh dari sumber yang tidak sah dan menggunakan maklumat palsu," katanya. - Bernama

Tags / Kata Kunci: Johor , culik

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan