Suspek Rompak Kedai Emas Ditembak Mati - Berita Jenayah | mStar

Suspek Rompak Kedai Emas Ditembak Mati

Diterbitkan: Sabtu, 6 Januari 2018 7:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis menembak mati seorang suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian rompakan kedai emas di Seremban dan Lembah Klang.

Menurut sumber, bertindak hasil maklumat pasukan Stafoc telah ke Taman Connaught, Cheras kira-kira pukul 10.35 malam pada Jumaat untuk melakukan rondaan.

Pasukan itu kemudiannya mengesan suspek yang berkelakuan mencurigakan dan terus mengekorinya.

Ketika itu, suspek dikesan membawa senjata api.

Berlaku kejadian tembak menembak antara pasukan Stafoc dan suspek, sebelum lelaki berkenaan maut.

Sumber itu berkata, rekod menunjukkan suspek pernah lima kali ditahan dan dikehendaki di Cheras melibatkan kes senjata api mengikut Seksyen 3, Akta Senjata Api 1971.

Pada 4 Januari, tiga lelaki yang memakai topi keledar mengambil masa hanya dua minit untuk melarikan barang kemas bernilai RM370,000 dalam kejadian di Kajang.

Sebelum itu, pada 31 Disember 2017 pula, kejadian sama berlaku di sebuah kedai emas di Cheras melibatkan kerugian sebanyak RM1.5 juta.

Tags / Kata Kunci: Taman Connaught , Seremban
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan