Tujuh Nelayan Pulau Gaya Selamat Pulang Ke Pangkuan Keluarga - Berita Jenayah | mStar

Tujuh Nelayan Pulau Gaya Selamat Pulang Ke Pangkuan Keluarga

Diterbitkan: Selasa, 26 Disember 2017 1:10 PM

(Ubah saiz teks)

LABUAN: Tujuh nelayan yang dikhuatiri hilang di laut akhirnya selamat pulang ke pantai petang Isnin, sekali gus melenyapkan kerisauan anggota keluarga yang menanti di Pulau Gaya, Kota Kinabalu.

Bot mereka yang terkena tiupan angin kencang dan ombak besar telah dihanyutkan hingga 97 batu nautika dari perairan barat laut Labuan, kata juragan bot Husni Kamsi, 48.

Enam lagi nelayan terlibat ialah Mulbin, 54, Romil, 32, Dadit, 23, Joppre, 21, Appril, 18 dan Alkadre, 15.

Husni berkata akibat kejadian itu, separuh bot mereka dipenuhi air dan hampir karam tetapi tindakan pantas kesemua mereka mengikat tangki kosong sebelah-menyebelah bagi mengekalkannya dalam keadaan terapung.

Mereka kemudiannya memulakan perjalanan pulang ke Pulau Gaya awal Isnin dan tiba di jeti kira-kira pukul 7 malam dalam keadaan lemah.

Pencarian di udara dan laut dimulakan pada tengah hari 24 Disember sebaik menerima laporan kehilangan bot itu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) wilayah Sabah dan Labuan Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som dalam kenyataan berkata Angkatan Tentera Malaysia dan sebuah kapal milik Total E and P Malaysia turut membantu dalam usaha pencarian melibatkan kawasan 875 batu nautika persegi.

Beliau berterima kasih dengan bantuan yang dihulurkan.

Manakala lima lagi nelayan yang menaiki bot kecil dan keluar ke laut pada masa sama telah diselamatkan oleh MV Executive Balance iaitu kapal milik Total E and P Malaysia.

Kesemua nelayan berkenaan dibawa ke Labuan pada pukul 8.30 pagi Selasa. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: nelayan , Pulau Gaya
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan