Tiga Beradik Maut MPV Terbabas Ke Dalam Parit - Berita Jenayah | mStar

Tiga Beradik Maut MPV Terbabas Ke Dalam Parit

Diterbitkan: Sabtu, 23 Disember 2017 3:31 PM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Tiga beradik maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka terbabas sebelum terjatuh ke dalam parit di Jalan Kuantan-Pekan, berhampiran Kampung Batu Putih di sini, Sabtu.

Mereka yang terkorban dalam kemalangan pada kira-kira 5.45 pagi itu ialah Wan Nor Afifah Wan Mohd Kamaruzzaman, 28, Wan Nor Athirah, 27, dan Wan Muhammad Mahathir Rafiqi,14, yang dalam perjalanan dari Melaka untuk pulang ke rumah di Kampung Padang Lalang Binjai, Kemaman, Terengganu.

Ibu saudara mereka, Salma Ibrahim, 58, dan anaknya Nurul Aliyani Zawawi, 25, turut cedera dalam kemalangan itu dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Seorang saudara mangsa yang enggan dikenali semasa ditemui di Jabatan Forensik HTAA berkata mangsa ke Melaka untuk melawat saudara-mara selepas menghantar ibu bapa dan seorang lagi adik perempuan mereka menunaikan umrah pada Khamis lalu.

"Saya tahu mengenai kejadian ini kira-kira pukul 7 pagi selepas dihubungi Nurul Aliyani yang dapat keluar daripada kenderaan selepas beberapa jam kenderaan itu berada di dalam parit.

"Dia beritahu tiga beradik itu sudah meninggal dunia. Luluh hati saya mendengar berita itu... saya tidak tahu bagaimana hendak beritahu kepada ibu bapa mereka yang berada di Makkah," katanya. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: kemalangan maut
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan