Kes Bunuh, Gilis: Dua Lelaki Ditahan - Berita Jenayah | mStar

Kes Bunuh, Gilis: Dua Lelaki Ditahan

Diterbitkan: Rabu, 20 Disember 2017 4:06 PM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHRU: Polis menahan dua individu bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki berkaitan perselisihan kumpulan kongsi gelap, di sini pada Ahad lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd dalam kenyataan pada Rabu berkata, lelaki dan wanita berumur 19 dan 22 tahun itu ditahan pada 2.30 pagi tadi.

Dalam pada itu, beliau mengakui terdapat banyak cerita palsu, tidak benar dan tidak berkaitan dengan kes bunuh itu telah dikeluarkan oleh sesetengah pihak hingga menyebabkan kegusaran kepada masyarakat.

Pada masa sama ia mengganggu  siasatan polis yang fokus terhadap usaha menangkap suspek-suspek bagi dibawa ke muka pengadilan, katanya.

"Kekeliruan dan kegusaran yang ditimbulkan ini terjumlah kepada kesalahan yang boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya kerana telah menimbulkan kenyataan yang menyebabkan ketakutan dan kegentaran awam," katanya.

Dalam kejadian Ahad lepas, mangsa berusia  lingkungan 30-an mati selepas ditikam, dilanggar dan digilis dengan sebuah kereta oleh sekumpulan empat lelaki di Taman Pelangi, di sini.

Kejadian berlaku ketika mangsa bersama seorang wanita warga asing berusia 20-an yang dipercayai isterinya sedang mengisi angin tayar kereta di stesen berkenaan, sebelum didatangi suspek yang cuba menarik mangsa masuk ke dalam kereta mereka.

Mangsa dilaporkan berjaya seketika meloloskan diri namun dilanggar dan digilis dengan kereta sebelum keempat-empat lelaki tersebut melarikan diri.

Pada Selasa, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri  Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa kejadian pembunuhan itu berpunca  daripada perselisihan dan perebutan antara dua kumpulan kongsi gelap dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan.- Bernama

Tags / Kata Kunci: Kes bunuh , Stesen Minyak
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan