Belasah Pemandu Ambulan: Tiga Lelaki Direman - Berita Jenayah | mStar

Belasah Pemandu Ambulan: Tiga Lelaki Direman

Diterbitkan: Selasa, 19 Disember 2017 1:44 PM

Gambar hiasan ambulan.

(Ubah saiz teks)

TAIPING: Seorang pelajar antara tiga orang yang ditahan reman bagi membantu siasatan kes pemandu ambulans dibelasah sekumpulan remaja lelaki berhampiran Plaza Tol Taiping Utara di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) Ahad lepas.

Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Taiping Noraishah Ahmad membenarkan ketiga-tiga mereka berumur lingkungan 17 hingga 20 tahun ditahan reman empat hari mulai hari ini (Selasa).

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping Supt Razlam Ab Hamid berkata ketiga-tiga lelaki itu diserahkan oleh keluarga masing-masing di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping malam tadi.

“Pihak polis akan mengesan suspek lain yang dipercayai terlibat dalam kes itu,” katanya dalam  kenyataan pada Selasa.

Menurut laporan media, pemandu ambulans berumur 53 tahun itu cedera dalam kejadian awal pagi Ahad lepas, akibat ditumbuk selepas menegur sekumpulan mat rempit yang sedang berlumba.

Seorang jururawat yang menjaga pesakit di belakang ambulans itu cuba membantu dan meleraikan kumpulan terbabit, tetapi didakwa turut diterajang.

Mangsa yang enggan dikenali, berkata ketika kejadian dia bersama seorang pembantu perubatan dan seorang jururawat dalam perjalanan membawa pesakit dari Hospital Parit Buntar ke Hospital Taiping.

Katanya, sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat berhampiran plaza tol itu,  dia melihat sekumpulan penunggang motosikal yang dipercayai sedang berlumba.

"Oleh kerana tindakan mereka boleh membahayakan perjalanan ambulans, saya menggunakan pembesar suara menegur mereka agar memberi laluan kepada kami. Tetapi, tindakan saya membangkitkan kemarahan mereka yang kemudian menghimpit ambulans sebelum seorang daripada mat rempit itu terjatuh, " katanya.

Beliau mendakwa sebaik ambulans berhenti, kira-kira empat hingga enam remaja lelaki membuka pintu dan menariknya keluar daripada kenderaan sebelum menumbuk mukanya dan membelasahnya. -Bernama

Tags / Kata Kunci: Belasah pemandu ambulan
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan