Guru Disiasat Didakwa Hina Islam Di FB - Berita Jenayah | mStar

Guru Disiasat Didakwa Hina Islam Di FB

Diterbitkan: Ahad, 17 Disember 2017 4:48 PM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

MIRI: Seorang guru sekolah rendah di sini disiasat oleh polis kerana dipercayai memuat naik satu komen di Facebook yang dikatakan telah menghina umat Islam ketika memberikan komen berkaitan Islam dan Baitulmuqqadis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, setakat ini dua laporan polis dibuat di Kuching dan di sini selepas komen guru lelaki itu menjadi tular.

"Kami sudah mengenal pasti pemilik akaun Facebook yang menggunakaan nama Raph Binsing dan akan memanggilnya untuk soal siasat,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi pada Ahad.

Menurutnya, polis menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 505 (c)  Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kegusaran terhadap awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana mendatangkan khianat awam.

Komen Raph Binsing mengenai Islam dan pengiktirafan Baitulmuqaddis oleh Amerika Syarikat sebagai ibu negara baharu Israel telah mengundang kemarahan netizen.

Sementara itu, semasa mengakses akaun Facebook itu, didapati pemiliknya telah memohon maaf atas komen itu dan menyatakan rasa kesal kerana menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini termasuk rakan-rakan dan sanak saudaranya.

Katanya, beliau telah menyerahkan diri kepada polis. - Bernama

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan