Sindiket ‘Bomoh Antarabangsa’ Lumpuh, Lima Ditahan

Diterbitkan: Jumaat, 15 Disember 2017 4:19 PM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Polis Padawan menumpaskan kes penipuan dipercayai sindiket ‘bomoh antarabangsa' dengan menahan lima suspek warga asing kira-kira empat jam selepas laporan dibuat mangsa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Merbin Lisa berkata kelima-lima suspek, iaitu dua warga Indonesia dan tiga rakyat China yang berusia antara 27 dan 52 tahun itu ditangkap pada 13 Disember lalu di sebuah rumah di Taman Stampin Tengah di sini pada 5 petang, ekoran laporan polis yang dibuat seorang wanita tempatan yang mendakwa dia mengalami kerugian RM14,000.

“Hasil siasatan awal, suspek dipercayai memperdayakan mangsa mereka supaya menyerahkan wang tunai dan barang kemas bagi tujuan perubatan dan upacara pemujaan untuk membuang nasib malang.

“Suspek  menyasarkan  mangsa di beberapa lokasi terutama di pasar basah, pasar raya dan suri rumah yang bersendirian di lokasi tertentu,” kata Merbin pada sidang akhbar di sini Jumaat.

Suspek yang ditahan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Padawan diketuai Inspektor Fakhri Ismail, direman sehingga 18 Disember ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Merbin berkata ketika serbuan dilakukan di kediaman suspek, polis  turut menemui wang tunai RM6,618, mata wang asing, barang kemas dan polis turut merampas sebuah kereta yang dipercayai disewa kumpulan tersebut dari sebuah syarikat di Kota Samarahan.

Katanya wanita warga emas yang menjadi mangsa sindiket berkenaan mendakwa anggota kumpulan itu mendekatinya pada 11 Disember di Pekan Siburan, sebelum seorang daripada mereka memperkenalkan diri sebagai bomoh dan mendakwa mangsa dan keluarga akan ditimpa musibah.

"Suspek kemudian meminta mangsa menyerahkan semua barang kemas miliknya, malah turut menyuruh mangsa mengeluarkan wang daripada akaun tetapnya di sebuah bank di Pekan Siburan bagi tujuan perubatan dan upacara sembahyang.

"Selepas memperoleh barang-barang tersebut, mangsa kemudian diberikan sebungkus plastik yang kononnya barang kemas serta wang mangsa. Wanita itu kemudian ditinggalkan di tepi jalan dan dia turut dinasihatkan agar tidak membuka bungkusan tersebut selama tiga hari,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Merbin, mangsa yang membuka bungkusan tersebut beberapa hari kemudian terkejut apabila mendapati hanya terdapat dua botol air mineral dan surat khabar lama, menyebabkan dia terus membuat laporan polis mengenai penipuan itu. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: bomoh antarabangsa

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan