Remaja Dipercayai Mati Dipukul Angkara Curi Wang Datuk - Berita Jenayah | mStar

Remaja Dipercayai Mati Dipukul Angkara Curi Wang Datuk

Diterbitkan: Jumaat, 15 Disember 2017 5:25 PM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Polis tidak menolak kemungkinan dakwaan kematian seorang remaja lelaki berusia 16 tahun, M. Anurasalam yang tular dalam media sosial sejak awal bulan ini dipercayai dipukul kerana mencuri wang milik datuknya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Afzanizar Ahmad berkata ia berdasarkan pengakuan lisan awal tiga suspek lelaki, berusia antara 32 dan 38 tahun yang direman sejak 8 Disember lepas.

“Ketiga-tiga suspek mengaku terlibat memukul mangsa kerana dipercayai tidak berpuas hati dengan pelajar tingkatan empat itu yang didakwa mencuri sejumlah wang milik datuknya,” katanya kepada pemberita selepas sesi Latih Amal Percubaan bagi persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini Jumaat.

Beliau berkata siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek dipercayai bertindak memukul remaja tersebut di sebuah bengkel di Krubong di sini sebagai tindakan memberi pengajaran, namun tidak menyangka ia bertukar menjadi tragedi.

Katanya pihaknya juga percaya dua individu yang mendakwa menjumpai mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah stesen bas di Ayer Keroh adalah antara suspek yang direman.

Afzanizar berkata tempoh reman bagi suspek pertama berusia 35 tahun yang berakhir 14 Disember lepas disambung tujuh hari hingga 21 Disember, manakala suspek kedua dan ketiga, masing-masing berumur 32 dan 38 tahun disambung reman hingga 22 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Media sebelum ini melaporkan satu klip video tular sejak awal Disember ini, memaparkan mangsa dari Tangkak, Johor dalam keadaan tidak berbaju, dipukul beberapa individu menggunakan getah paip.

Remaja itu yang didakwa ditemukan dalam keadaan cedera parah dan tidak sedarkan diri di sebuah perhentian bas di Ayer Keroh oleh dua individu itu dikejarkan ke Hospital Melaka sebelum disahkan meninggal dunia selepas kira-kira 30 minit menerima bantuan pernafasan daripada pegawai perubatan.

Sementara itu beliau berkata sejumlah 45 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlibat dalam latihan amal yang bertujuan menguji tahap kesiapsiagaan pegawai dan anggota dalam menghadapi tugasan sebenar ketika PRU14 nanti.

Beliau berkata latihan tersebut akan diteruskan hingga malam ini di beberapa lokasi sekitar negeri dan orang ramai dinasihatkan agar usah gusar sekiranya terserempak dengan situasi itu. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: mati , curi wang

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan