KLIA Bolos: Lima Lagi Termasuk Dua Kakitangan Imigresen Ditahan - Berita Jenayah | mStar

KLIA Bolos: Lima Lagi Termasuk Dua Kakitangan Imigresen Ditahan

Diterbitkan: Jumaat, 15 Disember 2017 3:51 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Lima lagi individu  termasuk dua kakitangan Jabatan Imigresen ditahan pada Khamis berhubung kes penyeludupan imigran warga Bangladesh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata turut ditahan dalam operasi  bersepadu Jabatan  Imigresen, Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu ialah dua warga asing dan seorang wanita tempatan yang terbabit  dalam sindiket penyeludupan itu.

”Tangkapan terbaru ini menjadikan jumlah keseluruhan tujuh orang ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti ini. Sebelum ini, dua pegawai Imigresen di KLIA ditahan berhubung kes ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin di sini, Jumaat.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.

Katanya, kira-kira 40 peratus daripada 1,500 petugas Jabatan Imigresen di KLIA  telah dan dalam perancangan untuk dipindahkan termasuk giliran kerja bagi digantikan dengan kakitangan lain untuk bertugas di kaunter-kaunter Imigresen.

"Ini adalah tindakan proaktif yang diambil dengan kadar segera bagi membersihkan imej Jabatan Imigresen yang dikotorkan oleh beberapa warga kerja Jabatan Imigresen," katanya mengulas mengenai  status kes penyeludupan warga Bangladesh di KLIA.

Menurut laporan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini, setiap hari ribuan warga Bangladesh diseludup masuk ke Malaysia melalui KLIA oleh empat sindiket yang turut didalangi pihak berkuasa dari kedua-dua negara dan mereka mengaut keuntungan kira-kira RM5.2 juta setahun hasil kegiatan haram itu.

Ahmad Zahid turut memuji tindakan pantas dan tegas oleh Ketua Pengarah Imigresen berhubung kes tersebut serta sikap sentiasa turun padang untuk memantau soal penguatkuasaan dan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) bagi memulihkan imej Jabatan Imigresen.

"Bagi mereka yang menjejaskan imej Imigresen dengan bersekongkol dengan sindiket luar akan dibanteras sepenuhnya.

“Kita harap apa yang dilakukan oleh Ketua Pengarah Imigresen ini dapat memberikan suatu gambaran bahawa kerajaan cukup serius dalam menangani permasalahan itu," katanya.

Ahmad Zahid menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi serta akan mengambil tindakan undang-undang dan tindakan jabatan terhadap individu-individu yang terbabit dalam kes penyeludupan itu.

"Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada pegawai dan kakitangan Jabatan Imigresen yang tidak terbabit dalam aktiviti sindiket ini dan sedang melakukan kerja amat baik sekali,” katanya. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: KLIA , Imigresen
   

iklan

Video

Selasa, 17 Julai 2018 6:18 PM

'Penyamun terbang' maut dalam kereta curi

Khamis, 12 Julai 2018 1:05 PM

Lempang pelajar ikut suka hati

Selasa, 10 Julai 2018 6:39 PM

Nak 'gugur jantung' tengok pakcik ini memandu

Selasa, 10 Julai 2018 3:06 PM

Pengasuh pijak, hempas anak jagaan

Isnin, 9 Julai 2018 5:30 PM

Ragam si meow & bola!

Jumaat, 6 Julai 2018 5:39 PM

Tak sanggup tengok mayat mangsa kemalangan

Jumaat, 6 Julai 2018 12:48 PM

Durian buah untuk orang kaya?

Kolumnis

iklan

Iklan