Kemalangan Maut: Pemandu, Kelindan Lori Direman - Berita Jenayah | mStar

Kemalangan Maut: Pemandu, Kelindan Lori Direman

Diterbitkan: Khamis, 14 Disember 2017 12:50 PM

Perintah reman empat hari bermula Khamis keatas seorang pemandu dan kelindannya ybagi embantu siasatan kemalangan yang mengorbankan pegawai khas Exco Perak, isteri dan adiknya di Jalan Bota Kanan-Teluk Intan berhampiran Kampung Teluk Memali pagi Rabu. Foto Bernama

(Ubah saiz teks)

BATU GAJAH: Seorang pemandu dan kelindan lori direman empat hari bermula Khamis bagi membantu siasatan kemalangan yang mengorbankan tiga nyawa termasuk pegawai khas kepada exco kerajaan negeri Perak, di Jalan Bota Kanan-Teluk Intan berhampiran Kampung Teluk Memali, Parit pada Rabu.

Perintah reman sehingga 17 Dis itu dikeluarkan Majistret Batu Gajah Mohd Fitri Sadarudin di sini, Khamis.

Pemandu lori berusia 25 dan kelindan 27 tahun itu ditahan mengikut Seksyen  41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara berbahaya dan mendatangkan bahaya kepada orang awam.

Terdahulu, kedua-dua suspek yang berpakaian lokap berwarna ungu itu tiba di mahkamah pada 9.10 pagi dengan diiringi dua anggota polis.

Pada Rabu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superitendan Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan hasil ujian urin kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi Rabu, Ahmad Nor Al-Zaidin Ahmad Azzudin, 35, isterinya Norhaslina Abdul Razak, 27, dan adiknya Nor Azira, 24, maut di tempat kejadian.

Ahmad Nor Al-Zaidin adalah pegawai khas Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Perak Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Kemalangan berlaku apabila kereta jenis Proton Saga dipandu Ahmad Nor Al-Zaidin dari arah Kampung Gajah ke Teluk Intan bertembung dengan lori terbabit sebelum terseret sejauh 10 meter dan terhumban ke dalam tali air. - Bernama

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan