Identiti Lima Mangsa Maut Dikenalpasti - Berita Jenayah | mStar

Identiti Lima Mangsa Maut Dikenalpasti

Diterbitkan: Rabu, 13 Disember 2017 8:00 AM

Foto Sinar Online.

(Ubah saiz teks)

SEGAMAT: Lima individu yang maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan kereta dan bas ekspres di Kilometer 176 Johor Bahru-Seremban, petang Selasa, disahkan sebagai pasangan suami isteri dan tiga anak mereka.

Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Raub Selamat berkata, pasangan suami isteri yang maut dikenali sebagai Muhammad Abu Dujanah Dzulkrinain, 30; isteri, Zinnirah Abdul Hamid, 28, yang berasal dari Taman Ilham, Kluang.

Manakala, tiga anak mereka yang maut ialah Nur Maghfirah, 6; Muhammad Abu Ajwad, 4 dan Nur Alia Humairah, tiga bulan, manakala seorang lagi anak pasangan tersebut, Nur Ghaziyah Athirah, 3,  dilaporkan kritikal dan dirawat di Hospital Segamat.

“Nur Alia Humairah meninggal dunia kira-kira pukul 9.25 malam semalam sewaktu sedang mendapatkan rawatan manakala bapa, ibu, abang dan dua kakaknya meninggal dunia serta merta di tempat kejadian.

“Berdasarkan siasatan awal, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dinaiki mangsa dari arah Labis-Segamat hilang kawalan dan berpusing beberapa kali sebelum memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan bas ekspres tersebut,” katanya.

Menurutnya, keadaan jalan di tempat kejadian adalah dua lorong dua hala dan dipisahkan oleh garisan putih berkembar di tengah-tengah jalan dan cuaca semasa kemalangan adalah hujan lebat dan permukaan jalan berada dalam keadaan basah.

Katanya, bentuk jalan adalah berselekoh dan menuruni bukit dari kedua-dua arah dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.10 petang Selasa, lima sekeluarga, termasuk seorang bayi lelaki maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 176 Jalan berhampiran persimpangan Kampung Melayu Raya, dekat sini.

Bas ekspres yang dinaiki 14 penumpang itu dalam perjalanan dari Terminal Bas Larkin dalam perjalanan ke Terminal Pengangkutan Awam Segamat dan pemandu serta penumpang bas tidak mengalami sebarang kecederaan. - Sinar Online 

Tags / Kata Kunci: bas ekspres , kemalangan
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan