Beberapa Pegawai Imigresen Di KLIA Ditahan - Berita Jenayah | mStar

Beberapa Pegawai Imigresen Di KLIA Ditahan

Diterbitkan: Selasa, 12 Disember 2017 4:01 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen telah menahan beberapa pegawainya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang disyaki terlibat melakukan tindakan tidak berintegriti berikutan laporan pembolosan warganegara asing khususnya warga Bangladesh melalui sindiket terancang di KLIA.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, pegawai berkenaan masih di tahan di ibu pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut dan pihak jabatan telah mengambil tindakan dalaman.

Tanpa mendedahkan bilangan pegawai yang ditahan itu, beliau berkata: “Apa yang pasti, tindakan serta-merta sudah diambil dengan penahanan pegawai terbabit dan mereka masih disoal siasat. Sekiranya, terbukti mereka terlibat dalam sebarang pelanggaran integriti, tindakan tegas dan pencegahan akan dikenakan termasuk buang kerja.

"Tetapi ia bergantung kepada sejauh mana pembabitan mereka dalam perkara ini. Mengenai tindakan dalaman itu, saya tidak mahu mendedahkan secara spesifik tetapi pasti ada tindakan tegas. Kami akan pasti lakukan tangkapan ke atas pegawai dan dalang terlibat kalau jelas terlibat," katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Jabatan Imigresen di sini, Selasa.

Khamis lalu, sebuah akhbar tempatan mendedahkan buruh haram warga Bangladesh diseludup masuk ke negara ini melalui KLIA setiap hari diuruskan empat sindiket besar beroperasi di Kuala Lumpur dan Dhaka, Bangladesh.

Sindiket terbabit dikatakan mampu mendapat keuntungan RM5.2 juta setahun dengan mengenakan bayaran antara RM15,000 ke RM20,000 setiap seorang termasuk wang 'pelincir' kepada beberapa pihak berkuasa terutama anggota dan pegawai Jabatan Imigresen serta pihak Kedutaan Malaysia di Dhaka.

Mustafar berkata, pihaknya juga telah menghantar satu pasukan unit tindakan khas ke Bangladesh pada Ahad lalu yang dianggotai oleh pegawai Bahagian Visa, Pas dan Permit, Bahagian Integriti dan Bahagian Khidmat Ekspatriat bagi memperkukuhkan prosedur operasi standard pengeluaran visa kepada pelawat dari Bangladesh.

Katanya, beliau sudah berbincang dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun pada Isnin berhubung pendedahan laporan pembolosan warganegara Bangladesh di KLIA, dan KPN berpendapat, 'masih awal untuk didedahkan mengenai kes ini.

"Apabila dikatakan ada pembolosan, dalang di luar melakukannya untuk mengaut laba, keuntungan dan imbuhan manakala dalang di dalam, pasti kita ambil tindakan tegas.

“Jadi, beberapa tindakan semakan yang memerlukan penelitian lanjut termasuk orang lain yang terlibat dibuat di KLIA malah tindakan bersama Polis Diraja Malaysia akan diteruskan," kata beliau.

Mustafar menegaskan pihaknya  sentiasa peka dengan situasi sebegini dan langkah-langkah proaktif dilakukan bagi memastikan keselamatan negara terjamin tanpa berkompromi, dengan dasar sedia ada diperketatkan bagi memastikan pintu masuk negara tidak mudah dibolosi.

Menurutnya, tindakan lebih tegas dan konsisten dilakukan oleh pihaknya dalam usaha mengesan ejen-ejen dan sindiket yang dipercayai cuba untuk memperalatkan pegawai-pegawai Imigresen terutama di pintu masuk.

"Dulu, kita ketahui kononnya lambakan warga Bangladesh yang datang bekerja di Malaysia dan saya telah menghantar pasukan penyiasatan ke Dhaka dan selepas itu, dapat keizinan daripada timbalan perdana menteri, kita hantar satu pasukan petugas khas untuk mempercepatkan proses pekerja asing masuk ke Malaysia. Kita tidak mahu ada ‘backlog'. Ini telah diselesaikan," katanya.  - Bernama

Tags / Kata Kunci: imigresen , KLIA
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan