“Perompak Letak Semula Kunci Motosikal, Kereta Elok-Elok”

Diterbitkan: Ahad, 10 Disember 2017 3:28 PM

(Ubah saiz teks)

TANAH MERAH: Ketua Cawangan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan daerah ini kerugian lebih RM10,000 selepas kediamannya dipecah masuk dalam kejadian yang disedari malam Sabtu.

Wan Mohd Marzuki Wan Abdul Kadir berkata, beliau hanya menyedari kejadian itu sebaik tiba di rumahnya di Taman Rahmat, Padang Siam, dekat sini, bersama isteri dan anak pada jam 10.40 malam.

Katanya, ketika kejadian, dia sekeluarga tidak berada di rumah kerana menziarahi anak perempuannya yang sakit di Putrajaya selama tiga hari sejak Rabu lalu.

“Bila masuk ke dalam rumah, saya dapati ruang tamu dan kesemua empat bilik tidur termasuk almari, laci dan beg pakaian dalam keadaan berselerak.

“Selepas melakukan pemeriksaan lanjut, saya dapati barang yang hilang ialah wang tunai RM1,500, dua tablet Samsung, pedang samurai hiasan, dua cincin permata, dua loket emas dan cincin berlian,” katanya.

Menurutnya, penjenayah dipercayai memecah masuk dengan mengumpil gril dan besi pengadang tingkap di bilik anaknya yang terletak di bahagian belakang rumah itu.

“Sebenarnya ada kesan dua kali cubaan masuk melalui cermin sisip angin tandas di bilik sama dan juga dekat dapur,” katanya yang membuat laporan polis mengenai kejadian itu pada jam 11.30 malam.

Wan Mohd Marzuki berkata, bagaimanapun dia masih bernasib baik kerana kereta dan motosikal serta koleksi keris dan golok miliknya tidak dilarikan penjenayah.

“Mereka (penjenayah) dah ambil kunci kereta dan motosikal tapi diletakkan semula elok-elok atas almari,” katanya. - Sinar Harian

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan