Bekas OCPD Didakwa Terima Rasuah Untuk Kahwinkan Anak - Berita Jenayah | mStar

Bekas OCPD Didakwa Terima Rasuah Untuk Kahwinkan Anak

Diterbitkan: Sabtu, 9 Disember 2017 8:52 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Wang tunai berjumlah kira-kira RM1 juta ditemukan di dalam kotak logam milik bekas anggota polis kanan di Taiping.

Selain wang, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia turut merampas pelbagai barangan kemas dari rumah bekas ketua polis daerah yang berusia 59 tahun itu.

Serbuan itu dibuat selepas pegawai itu yang berpangkat Asisten Komisioner ditangkap pada petang Khamis kerana disyaki terlibat dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Turut ditahan adalah isterinya yang berusia 54 tahun dan seorang wanita berusia 34 tahun.

Ketiga-tiga mereka ditahan selepas memberi kenyataan kepada SPRM.

Menurut sumber, suspek dikatakan menerima sebanyak RM70,000 daripada seorang ahli perniagaan wanita untuk melangsungkan majlis perkahwinan anak perempuan pegawai polis itu.

Difahamkan, wang itu didepositkan sebanyak RM20,000 dan RM50,000 kepada akaun bank ahli keluarga pada Februari lalu.

Ketiga-tiga suspek direman selama lima hari bermula Jumaat.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani berkata, suspek akan disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Pada 29 Ogos lalu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerima surat terbuka yang mendakwa bekas ketua polis daerah itu menerima rasuah daripada sindiket perjudian haram.

Siasatan dilakukan oleh SPRM sejurus tuduhan itu dibuat.

Bulan lalu, pegawai terbabit dipindahkan ke kontinjen polis Perak, namun ia tidak berkaitan dengan kes tersebut.

Tags / Kata Kunci: SPRM , polis rasuah
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan