Ops JANS: RM19.97 Juta Diserah Kepada Kerajaan - Berita Jenayah | mStar

Ops JANS: RM19.97 Juta Diserah Kepada Kerajaan

Diterbitkan: Jumaat, 8 Disember 2017 3:52 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Sejumlah RM19.97juta daripada RM21.78 juta wang tunai yang dirampas menerusi operasi penyelewengan dana Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) telah dilucuthakan dan diserahkan kepada kerajaan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi kenyataannya pada Jumaat menyebut, ia susulah keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Datuk Nurcahaya Arshad pada Khamis.

Keputusan itu meliputi keseluruhan wang dan akaun bank yang disita.

Selain itu, keputusan untuk melucuthakan baki wang yang disita berjumlah RM1.8 juta telah ditetapkan perbicaraannya pada 13 Disember 2017.

Dalam prosiding tersebut, SPRM diwakili Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman, Mohd Farez Rahman dan Rozanna Abdul Hadi.

Sementara itu, SPRM menyifatkan operasi melibatkan penyelewengan dana JANS telah membongkar kegiatan rasuah dan salah guna kuasa hampir semua pegawai di jabatan itu.

Malahan, menerusi Ops JANS itu juga, rampasan wang tunai terbesar sejak penubuhan agensi itu telah diperoleh iaitu sebanyak RM21.78 juta.

Menerusi kenyataan sama, SPRM berharap kejadian ini dijadikan iktibar oleh semua pihak untuk memastikan kejadian penyelewengan sebegini tidak berulang dan berlaku di mana-mana agensi lain.

"SPRM memandang serius perkara sebegini yang boleh membantutkan pembangunan negara sekali gus menyebabkan kerugian kepada pihak kerajaan serta menyebabkan rakyat sengsara akibat penyelewengan peruntukan yang disediakan tidak sampai kepada mereka," katanya.

Berdasarkan rekod, pada 4 Oktober 2016 yang lalu, SPRM telah melancarkan Ops JANS di mana fasa pertama operasi itu menyaksikan pasukan penyiasat telah merampas wang tunai berjumlah kira-kira RM53 juta daripada dua suspek yang ditahan.

Sementara itu, fasa kedua pada Januari 2017 lalu, SPRM turut menahan seramai 35 Ketua Bahagian dan Daerah JANS bagi membantu siasatan penyelewengan dana infrastruktur jabatan tersebut.

Susulan operasi fasa kedua itu, SPRM telah membuka 10 kertas siasatan dan telah menfailkan pelucuthakan wang rasuah yang disita berjumlah kira-kira RM21.78 juta di bawah Seksyen 56 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 kepada Mahkamah Kota Kinabalu.

Tags / Kata Kunci: SPRM , JANS
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan