Motosikal Terbabas, Konstabel Polis Putus Tangan Kiri - Berita Jenayah | mStar

Motosikal Terbabas, Konstabel Polis Putus Tangan Kiri

Diterbitkan: Jumaat, 8 Disember 2017 8:00 AM

Foto Facebook.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang konstabel polis putus tangan kiri dan patah tulang tengkuk selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan di Km1.4 Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK), di sini, Khamis.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata dalam kejadian kira-kira pukul 7.50 pagi Khamis, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar  bahagian belakang sebuah motosikal lain.

"Selepas pelanggaran itu, mangsa terbabas ke lorong kiri dan merempuh besi penghadang jalan," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, ketika kejadian mangsa yang berusia 25 tahun dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras  itu baharu selesai bertugas dan dalam perjalan pulang ke rumahnya di Bandar Baru Bangi.

Mangsa kini menerima rawatan di Hospital Serdang dan berada dalam keadaan stabil, katanya.

Ahmad Dzaffir berkata penunggang motosikal berusia 47 tahun yang terlibat dalam kemalangan yang sama hanya mengalami kecederaan ringan. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: putus tangan , konstabel polis
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan