Enam Cedera Bas Rempuh Treler

Diterbitkan: Khamis, 7 Disember 2017 9:58 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Enam cedera apabila bas ekspres dua tingkat dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori treler di KM249.6 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan, dekat Hentian Rehat dan Rawat(R&R) Sungai Perak, Kuala Kangsar awal pagi Khamis.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri kesemua yang cedera terdiri daripada lima penumpang bas tersebut serta pemandunya.

Katanya kejadian dipercayai berlaku apabila bas ekspres yang dalam perjalanan dari Kangar, Perlis ke Klang bersama 42 penumpang itu merempuh bahagian belakang sebuah lori treler yang diletakkan di bahu jalan susur keluar R&R itu.

Beliau berkata bomba menerima panggilan kira-kira pukul 3.44 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar dengan bantuan balai Meru Raya bergegas ke tempat kejadian.

Sebaik jentera tiba di tempat kejadian, anggota bomba membantu mengeluarkan seorang mangsa yang cacat penglihatan menggunakan pintu kecemasan.

"Orang awam juga telah membantu mengeluarkan penumpang lain yang cedera," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Bagaimanapun pemandu lori treler yang membawa muatan habuk kayu seberat 25 tan itu bersama kelindannya tidak mengalami sebarang kecederan. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: kemalangan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan