Imigresen Bongkar Bengkel Senjata Api - Berita Jenayah | mStar

Imigresen Bongkar Bengkel Senjata Api

Diterbitkan: Isnin, 4 Disember 2017 5:56 PM

Peralatan-peralatan membuat senjata api ditemui di dalam sebuah bengkel.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Serbuan Jabatan Imigresen bagi membanteras pendatang asing tanpa izin (Pati) dikejutkan dengan penemuan sebuah bengkel membuat senjata api haram di Kemahang 2, Tanah Merah, Kelantan menerusi Ops Kutip, malam Ahad.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata bengkel berbentuk bangsal yang dilengkapi dengan bekalan elektrik itu terletak di sebelah penempatan asrama pekerja asing di sebuah kawasan tanah rancangan kelapa sawit.

Katanya, beberapa peralatan membuat senjata api ditemui termasuk selaras senapang yang sudah siap dan tiga senapang yang masih dalam pembuatan.

“Turut dijumpai ialah sebotol bekas yang mengandungi bola besi, dipercayai peluru senjata berkenaan.

“Jabatan Imigresen telah memaklumkan kepada polis untuk tindakan dan siasatan lanjut,” kata Mustafar dalam satu kenyataan pada Isnin.

Operasi yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Kelantan itu diketuai oleh pengarah negeri, Wan Mohammaed Saupee Wan Yusoff berdasarkan maklumat awam dan risikan.

Mustafar berkata, ia bukan kali pertama senjata api ditemui dalam operasi yang dijalankan Jabatan Imigresen selain menahan Pati.

Dalam serbuan itu, Mustafar berkata, seramai 81 pekerja asing diperiksa dan daripada jumlah itu, 52 dibawa ke pejabat penguat kuasa imigresen Kota Bharu kerana gagal mengemukakan passport.

“Berdasarkan pemeriksaan terperinci dan pengesahan salinan dokumen perjalanan dan permit kerja, seramai 15 orang didapati tinggal tanpa pas atau permit yang sah di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan tinggal lebih masa di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta yang sama. Mereka terdiri daripada warga Indonesia dan Bangladesh,” katanya.

Sehubungan itu, Mustafar menasihatkan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Pati atau yang boleh membantu Jabatan Imigresen dalam melaksanakan penguatkuasaan supaya tampil menghubungi jabatan itu.

Tags / Kata Kunci: senjata api , Pati
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan