Cemburu Motif Pemilik Kedai Cuci Kereta Dibunuh - Berita Jenayah | mStar

Cemburu Motif Pemilik Kedai Cuci Kereta Dibunuh

Diterbitkan: Selasa, 14 November 2017 9:52 PM

(Ubah saiz teks)

PORT DICKSON:  Cemburu dikenal pasti sebagai motif pembunuhan pemilik kedai mencuci kereta kerana mangsa disyaki menjalin hubungan sulit dengan isteri suspek, kata Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Zainudin Ahmad.

Beliau berkata suspek berusia 29 tahun itu sebelum ini tinggal di Tanjung Malim, Perak kerana menjalani hukuman buang daerah.

Siasatan awal mendapati suspek yang berang telah menculik mangsa dan membawanya ke tanah perkuburan Siliau dekat ini dan membunuhnya dengan cara mengelar leher mangsa dengan menggunakan pisau dan parang, katanya kepada pemberita pada Selasa.

Katanya  suspek yang dibantu beberapa rakannya telah bertindak menanam mangsa di dalam kubur yang menempatkan individu yang baru meninggal dunia dengan meletakkan mangsa di atas mayat individu itu.

Mayat pemilik kedai mencuci kereta itu ditemukan dalam lubang kubur itu pada Sabtu lepas.

Zainudin berkata polis turut menjumpai seluar pendek dipercayai milik mangsa di sungai berdekatan, serta kunci dan alat penggera kereta milik mangsa yang telah dibakar.

Katanya suspek dan lapan yang lain termasuk isterinya telah ditahan dalam serbuan berasingan di Seremban, Perak dan Selangor dari 6 hingga 10 November lepas.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.- Bernama

Tags / Kata Kunci: Bunuh , cemburu
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan