Mayat Mahmud Akan Dibawa Pulang Ke Malaysia - Berita Jenayah | mStar

Mayat Mahmud Akan Dibawa Pulang Ke Malaysia

Diterbitkan: Sabtu, 11 November 2017 6:11 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mayat militan kelahiran Malaysia, Dr Mahmud Ahmad, yang dilaporkan terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Filipina pada 18 Oktober lalu, dijangka dibawa pulang ke tanah air.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, sampel asid deoksiribonukleik (DNA) daripada isteri serta anak Mahmud, telah diambil.

Menurutnya, mayat militan itu akan dibawa pulang untuk pengecaman dan pengesahan bahawa individu yang terbunuh itu sememangnya adalah Mahmud.

"Sebolehnya kita nak 'claim' body itu, kita tak kisah dia pengganas ke apa selagi dia adalah warga kita. Kita sudah sedia dengan DNA anak dan isterinya.

"Kita telah berhubung rapat dengan pihak polis di Filipina berhubung perkara ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Unit Tindakan Khas (UTK) di Lapang Sasar Pasukan Gerakan Am Briged Tengah Cheras, di sini, Sabtu.

Mengulas lanjut mengenainya Mohamad Fuzi berkata, setakat ini, tiada permohonan dibuat oleh anggota keluarga untuk membawa pulang mayat Mahmud.

Katanya, buat masa ini maklumat diterima mendakwa individu yang terkorban itu ialah Mahmud, hanya berdasarkan kenyataan pihak berkuasa Filipina dan Presiden negara itu Rodrigo Duterte.

Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau berkata, polis berhubung rapat dengan pihak berkuasa Singapura untuk memantau aktiviti kegiatan militan susulan penahanan anggota Jemaah Islamiyah (JI) di negara itu.

Khamis lalu, tiga rakyat Singapura ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri  (ISA) antara September dan November tahun ini.

Mereka terdiri dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 19 dan 38 tahun dengan seorang daripadanya adalah anggota JI.- Sinar Harian


Tags / Kata Kunci: Mahmud , Duterte
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan