Bom Dijumpai Ketika Seorang Ibu Lepas Gian - Berita Jenayah | mStar

Bom Dijumpai Ketika Seorang Ibu Lepas Gian

Diterbitkan: Rabu, 4 Oktober 2017 9:41 PM

(Ubah saiz teks)

PARIT: Pihak polis di sini menemui sebutir bom tangan dan 79 butir peluru hidup ketika menggeledah sebuah rumah di  Kampung Kubang Chandung, Bota Kanan awal pagi Rabu.

Siasatan lanjut masih dilakukan berhubung penemuan bom dan peluru tersebut.

Penggeledahan 1.30 pagi itu dibuat bagi mengesan aktiviti penagihan dan pengedaran dadah yang turut menemukan 13 paket Methamphetamine, balang kaca bagi menghisap  dadah, alat timbang dan plastik membungkus dadah.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supritendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, turut ditahan di rumah itu ialah lima individu termasuk seorang ibu dan dua anaknya yang sedang melepaskan gian dadah.

Beliau berkata, wanita berkenaan yang berumur 43 tahun  merupakan seorang pengganggur manakala anaknya seorang lelaki dan perempuan yang masing-masing berumur 22 dan 16 tahun juga menganggur.

Mohamad Zainal berkata dua lagi yang ditahan berumur 29 dan 38 tahun yang masing-masing bekerja sebagai peniaga dan pemotong rumput.

“Kita mengesyaki kesemua mereka adalah pengedar di daerah ini dan kesemua mereka mereka kecuali remaja berusia 16 tahun itu postif  Methamphetamine,” katanya.

Beliau berkata suspek yang berusia 29 tahun itu didapati mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan pecah rumah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan Seksyen 8A Akta Senjata Api 1960. - Bernama


   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan