Cuba Larikan Diri, Warga Nigeria Terjun Dari Tingkat Lima - Berita Jenayah | mStar

Cuba Larikan Diri, Warga Nigeria Terjun Dari Tingkat Lima

Diterbitkan: Sabtu, 30 September 2017 11:54 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Seorang lelaki warga Nigeria terjatuh dari tingkat lima di sebuah pangsapuri di Flora Damansara, di sini, ketika cuba melarikan diri daripada ditahan polis dalam operasi khas, awal pagi Sabtu

Dalam kejadian itu, lelaki berumur lingkungan 30-an yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri, telah berpaut pada piring Astro di luar balkoni di rumahnya ketika diserbu polis, namun nasib tidak baik menyebabkan besi piring itu patah menyebabkan lelaki itu terjatuh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata lelaki terbabit mengalami kecederaan di hidung dan tangan kanannya patah.

Beliau berkata lelaki itu dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lanjut dan dilaporkan stabil.

Dalam perkembangan sama, operasi khas JSJ Selangor di Flora Damansara, turut memeriksa 171 warga asing dan daripada jumlah itu, 51 daripadanya ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen.

"Hasil ujian saringan air kencing masih dijalankan dan setakat ini, 10 warga asing disahkan positif dadah," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Damansara di sini.

Fadzil berkata hasil siasatan menunjukkan, mereka yang ditahan dalam operasi ini tidak mempunyai  pekerjaan tetap malah ada di antara mereka mengaku sebagai pelajar di negara ini.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai aktiviti pelacuran melibatkan warga asing di sekitar kawasan berkenaan.

Operasi khas lima jam yang bermula kira-kira 7.30 malam tadi disertai 44 pegawai dan 368 anggota polis.

Ia turut disertai penguat kuasa Jabatan Imigresen dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Tags / Kata Kunci: Nigeria , Polis , Imigresen

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan