Bandaraya P.Pinang Hampir Lumpuh, Wanita Dikhuatiri Lemas

Diterbitkan: Jumaat, 15 September 2017 12:44 PM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Seorang wanita berusia 30 tahun dikhuatiri lemas apabila dia terjatuh ke dalam sungai ketika menunggang motosikal di Jalan Paya Terubong di sini.

Pekerja kilang Noor Afidah Yajunas dipercayai dihanyutkan arus deras ketika dalam perjalanan pulang selepas tamat syif malam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata stesen Paya Terubong memberi tindak balas kepada kes itu selepas dimaklumkan pada pukul 8.38 pagi Jumaat dan anggota bomba masih berada di tempat kejadian untuk mencari mangsa.

"Kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana arus begitu kuat," kata seorang penunggang motosikal yang tidak mahu dinamakan.

"Ia adalah satu pandangan yang amat menyedihkan, saya melihatnya tangannya terkapai-kapai sambil dihanyutkan arus deras tetapi tiada apa yang kami mampu buat."

Sementara itu, anggota bomba dari balai Jalan Perak telah menyelamatkan lima pelajar dari Taman Irama Villa di Lintang P. Ramlee, manakala tiga orang dewasa dan dua kanak-kanak di Ayer Itam diselamatkan oleh anggota bomba dari stesen Paya Terubong.

Bernama melaporkan kejadian banjir kilat yang melanda kebanyakan kawasan di lima daerah di negeri ini pagi ini susulan hujan lebat sejak 3 pagi tadi hampir melumpuhkan bandaraya Pulau Pinang.

Bandaraya ini mengalami kesesakan teruk selepas beberapa jalan menuju ke pusat bandar ditutup akibat ditenggelami air.

Antara kawasan yang dilaporkan terjejas ialah Jalan P. Ramlee, Jalan Masjid Negeri, Sungai Pinang, Taman Lumba Kuda, Bandar Baru Air Itam, Paya Terubong, Relau, Balik Pulau, Batu Ferringhi serta beberapa kawasan di Seberang Perai iaitu Taman Bagan, Mak Mandin, Permatang Pauh dan Jalan Tembikai.

"Namun sehingga kini belum ada pusat pemindahan dibuka selain tiada laporan kemusnahan harta-benda atau kemalangan jiwa diterima," katanya kepada pemberita, di sini.

Kesesakan teruk juga dilaporkan berlaku di sekitar bandar raya  dan di atas Jambatan Pulau Pinang dari kedua-dua arah termasuk di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu menuju ke pusat bandar berikutan penutupan jalan.

Setakat 10 pagi, keadaan hujan masih belum menunjukkan tanda-tanda akan reda.

Sementara itu, menurut jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Timur Laut, paras air sungai di Sungai Pinang dan Sungai Air Itam telah mencecah paras bahaya.

"Tahap kedalaman air di beberapa kawasan di Timur Laut telah mencecah 0.6 meter namun setakat 9 pagi ini tiada pusat pemindahan dibuka," katanya.

Tags / Kata Kunci: banjir , Pulau Pinang

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan