Anak Exco Kedah Maut Kereta Hentam Pokok

Diterbitkan: Sabtu, 12 Ogos 2017 8:21 PM

Aminuddin sebak melihat keadaan mayat anaknya yang terkorban dalam nahas jalan raya, petang Sabtu. - Facebook/Nur Fitri Damia

(Ubah saiz teks)

DIKEMASKINI

PETALING JAYA: Anak kepada Exco Kedah, Datuk Aminuddin Omar maut bersama seorang rakannya selepas kenderaan yang mereka naiki terbabas lalu merempuh pokok di KM 12.7 Lebuhraya Changlun dekat Kampung Bendang Perang, petang Sabtu.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa, Irfan Aminuddin, 20 dan rakannya, Wan Khuzairi Wan Cik, 27, meninggal dunia akibat tersepit dalam kenderaan tersebut dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Penguasa Bomba Mohamad Mustakim Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.30 petang berhubung kejadian berkenaan.

Pasukan bomba mengeluarkan kedua-kedua mangsa dari kenderaan yang dinaiki.

“Setiba di lokasi kejadian didapati dua lelaki tersepit dalam kenderaan pikap jenis Toyota Hilux yang dipercayai terbabas dan  melanggar pokok di lebuh raya tersebut.

“Kedua-duanya berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya.

Mayat kedua-dua mereka kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Jitra.

Aminuddin selaku Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Kedah dan Anggota Dewan Undangan Negeri Jitra serta isteri Faridah Hanafiah, 43, yang berada di hospital kelihatan ditenangkan kaum keluarga dan rakan-rakan mereka.

Lapor Bernama, beliau bagaimanapun mengelak untuk ditemubual wartawan.

Muhammad Irfan merupakan anak sulung daripada empat beradik.

Pegawai khas Aminuddin, Shafarizan Baderon berkata ketika kejadian kedua-dua rakan itu yang  sedang menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Merbok sedang dalam perjalanan dari Changlun menuju ke sebuah dewan di sini bagi menghadiri majlis perkahwinan.

Beliau berkata jenazah Muhammad Irfan akan dikebumikan selepas solat Isyak malam ini.

Ketika kejadian, Aminuddin sedang menghadiri Persidangan Perwakilan Pemuda UMNO Kubang Pasu di Dewan Institut Kemahiran Belia Negeri (IKBN) di sini yang dirasmikan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairul Azwan Harun.

Persidangan itu dihentikan sejurus selepas Aminuddin menerima berita mengenai kematian anaknya itu.

Bapa kepada Wan Khuzairi, Wan Chik Yahaya, 51, berkata anaknya dan Muhammad Irfan merupakan rakan baik.

“Sudah seminggu saya tidak menghubungi anak sulung saya daripada tiga beradik itu, sebelum saya dihubungi rakan anak saya mengenai kejadian yang menimpanya pada pukul 5 petang tadi," katanya.

Beliau berkata jenazah anaknya akan dikebuikan di Kampung Padang Chenderang, Kuala Nerang malam ini.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt Mohd Ismail Ibrahim berkata kejadian itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Khairul Azwan dan Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Seri Johari Baharum turut melawat jenazah kedua-dua mangsa di Hospital Jitra.


iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan