Datuk Appoi, 10 Lagi Geng 04 Diburu

Diterbitkan: Jumaat, 11 Ogos 2017 6:57 PM

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Chuah Ghee Lye menunjukkan gambar 11 penjenayah kongsi gelap 04 yang dikehendaki oleh pihak polis pada sidang media di Ibu pejabat Polis Kontijen (IPK) Pulau Pinang, Jumaat.

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Seorang lelaki bergelar Datuk adalah antara 11 anggota geng kongsi gelap 04 yang sedang diburu kerana terbabit dalam pelbagai jenayah seperti membunuh, bergaduh dan memeras ugut sejak beberapa tahun lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Chuah Ghee Lye berkata kesemua mereka  berusia 21 hingga 41 tahun yang sebelum ini menetap di negeri ini dipercayai telah melarikan diri dan kini bersembunyi di beberapa tempat di dalam negara.

"Datuk tersebut ialah T.Manigandan, 37, yang juga lebih dikenali sebagai Datuk Appoi dan berdasarkan siasatan polis, lelaki itu adalah antara ketua geng 04 di Pulau Pinang. Saya minta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mereka agar membantu menyalurkan (maklumat) kepada polis," katanya pada sidang akhbar di sini, Jumaat.

Mereka lain yang diburu itu ialah G.Meharaj, 21; S.Barathraji, 23;  A.Gabreal Stanley, 24; O.Kiridaran, 25; R.Nahveen Raaj, 25; S.Martin,26;  N.Devan, 28; C.Gomaredas yang juga dikenali sebagai Bee, 28; M.Rishikaran, 29; dan M.Parameswaran, 41, yang turut dikenali dengan nama Ramesh Masala.

Beliau berkata anggota 04 itu boleh dikenali menerusi tatu lambang nazi atau swastika di badan mereka.

Dalam pada itu, Chuah berkata seramai 24 lelaki yang juga anggota geng 04 diberkas dalam operasi khas ‘Op Cantas Tanjung' di negeri ini dan Negeri Sembilan sejak 18 Julai hingga 22 Julai dan direman selama 28 hari di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Beliau berkata berdasarkan siasatan, 24 lelaki itu terlibat dalam 29 kes jenayah membabitkan pergaduhan, bunuh, pemerasan, ugutan jenayah dan mendatangkan kecederaan sejak tahun 2015 hingga tahun ini dan polis tidak menolak kemungkinan mereka terlibat dalam lebih banyak lagi kes jenayah.

Susulan penahanan mereka yang ada antaranya merupakan ketua komuniti di beberapa kawasan di negeri ini, polis merampas enam kenderaan; wang tunai sebanyak RM133,844; 29 telefon bimbit; barang-barang kemas; dan tiga bilah sabit.

"Operasi khas itu adalah untuk menangani kes berkaitan kumpulan jenayah terancang di Pulau Pinang. Kebanyakan mereka yang merupakan ketua geng 04 di beberapa kawasan di negeri ini  akan didakwa di mahkamah Isnin ini," katanya.

Beliau berkata pegawai polis yang ditugaskan sebagai pegawai perhubungan sekolah di seluruh negeri juga telah diarah memantau aktiviti kongsi gelap di kalangan pelajar sekolah bagi memastikan kegiatan kongsi gelap tidak menular di sekolah.

“Kami telah kesan beberapa pelajar (terlibat dalam kongsi gelap). Terbaru seorang pelajar lelaki tingkatan tiga yang merupakan geng 04 ditahan kerana membawa kavadi lambang swastika semasa perayaan Thaipusam baru-baru ini," katanya.-- Bernama


Tags / Kata Kunci: Appoi

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan