Tiga Pengarah FIC Disiasat Isu Pembelian Hotel

Diterbitkan: Selasa, 8 Ogos 2017 4:27 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Tiga pengarah Felda Investment Corp (FIC) disoal siasat selama beberapa jam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembelian sebuah hotel pada 2014.

Semua pengarah terbabit tiba di ibu pejabat SPRM secara berasingan pada pukul 9 pagi dan masing-masing meninggalkan bangunan itu pada waktu yang berlainan pada Selasa.

Datuk Nik Azman Mohd Zain yang pertama meninggalkan bangunan SPRM pada pukul 1 petang diikuti Datuk Dr Omar Salim yang beredar pada pukul 1.30 petang.

Ia merupakan kali kedua Nik Azman di SPRM berikutan beliau sebelum ini dipanggil untuk memberikan keterangan pada bulan lalu.

Datuk Nur Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi beredar pada pukul 3 petang.

"Saya diminta beri keterangan, sebagai ahli lembaga pengarah FIC, saya membantu siasatan SPRM berhubung kes tersebut," katanya kepada pemberita.

Sumber SPRM mengesahkan ketiga-tiga mereka diminta hadir ke ibu pejabat suruhanjaya tersebut berhubung pembelian dua hotel, masing-masing satu di London dan Kuching.

FIC dikatakan memperoleh sebuah hotel empat bintang antara 2013 dan 2015 di Kensington, London pada harga RM330 juta, yang dikatakan lebih daripada nilai sebenar RM110 juta.

Pembelian hotel di Kuching pada 2014 dikatakan dibeli FIC pada harga RM50 juta yang melebihi nilai sebenarnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan